Selangorkini
EXCO Perumahan Rodziah Ismail (kanan) menyaksikan pemeteraian persefahaman antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor bersama Synergy Esco (Malaysia) Sdn Bhd selepas melancarkan program Bangunan Hijau Ke Arah Kesejahteraan Bandar di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada 7 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Lampu LED, solar jimat tenaga hingga 80 peratus di 1,000 perumahan strata

SHAH ALAM, 8 FEB: Sebanyak 1,000 perumahan bawah pengurusan strata bakal melaksana Sistem Pintar Strata dan Hartanah Selangor (SISP) melalui program penjimatan tenaga menyeluruh tahun ini.

Program melibatkan pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED) dan solar tanpa kos pemasangan (zero capex) itu permulaan ke arah teknologi hijau, kata EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Beliau menjelaskan kaedah itu menjimatkan tenaga sehingga 80 peratus setelah mengambil kira isu bil tinggi di bangunan strata susulan penggunaan lif dan pam air.

“Projek ini dimulakan dengan strata dan diperluas terutama di bangunan komersial, rumah kedai, hospital dan banyak lagi. Tiada had pemasangan tetapi kita sasar 1,000 strata tahun ini,” katanya.

Ditemui selepas merasmikan SISP di Glenmarie Golf & Country Club semalam, Rodziah menambah pemasangan LED dan solar membantu meningkatkan keselamatan di bangunan strata.

“Kita hendak mempelopori inisiatif teknologi bangunan dan ke arah negeri pintar menjelang 2025 yang memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya lagi.

 


Pengarang :