Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit kepada penduduk terkesan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Lebih 72,000 mangsa banjir, waris terima Bantuan Selangor Bangkit

Data penerima Bantuan Bangkit Selangor yang diperoleh Media Selangor.

SHAH ALAM, 21 FEB: Seramai 72,451 keluarga terjejas banjir pada hujung tahun lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 setakat 10 pagi tadi.

Dana menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) itu membabitkan peruntukan lebih RM72.581 juta termasuk sumbangan RM130,000 kepada 13 waris korban banjir berkenaan.

Berdasarkan infografik yang diperoleh SelangorKini, mangsa di Klang paling ramai menerima sumbangan membabitkan 23,450 isi rumah diikuti 16,917 penduduk Petaling dan 10,282 isi rumah di Kuala Langat.

Turut menerima sumbangan BSB adalah 7,834 mangsa di Hulu Langat, Sepang (6,878) Kuala Selangor (5,915), Gombak (1,041), Hulu Selangor (94) dan Sabak Bernam (40).

Hujan lebat luar biasa hingga 360mm antara 17 hingga 19 Disember lalu, mengakibatkan banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi menjayakan BSB untuk membiayai kos baik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai kepada isi rumah dan waris korban banjir.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

 


Pengarang :