Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Persidangan Antarabangsa Halal Selangor berlangsung tiga hari mulai 4 Mac

KAJANG, 8 FEB : Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) bakal berlangsung selama tiga hari mulai 4 Mac di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Ahli Jawatankuasa Tetap Industri Halal Selangor Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata program anjuran Kerajaan Negeri itu disertai pemain industri dari dalam dan luar negara.

“Program ini besar ertinya buat umat Islam di Selangor dan seluruh Malaysia kerana rata-rata rakyat dalam negara majoriti Islam yang perlu tahu konsep halal haram.

“Justeru, saya mempelawa seluruh warga Malaysia untuk hadir bersama ke persidangan untuk mendapatkan pelbagai ilmu berhubung halal haram,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Industri Halal Selangor 2.0 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) di sini hari ini. Turut hadir Rektor Kuis Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Mohd Fakhrulrazi berkata forum industri halal yang berlangsung di Kuis antara inisiatif untuk mempromosi Selhac selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa berhubung isu halal.

“Insya-Allah selepas Kuis kita akan menjelajah lagi ke tempat lain untuk mempromosi Selhac dan memperluaskan jaringan industri halal di Selangor,” katanya.

Forum Industri Halal Selangor bertajuk ‘Pembangunan Sumber Manusia dan Inovasi’ itu menampilkan tiga panel.

Mereka terdiri Pakar Halal Malaysia Mohd Amri Abdullah, Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Industri Halal) Kuis Mohd Fadhli Ab Rahman dan Pengarah Hal Ehwal Islam dan Hubungan Kerajaan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd Ahmad Syukry Ibrahim.


Pengarang :