Selangorkini
ADN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berucap meninjau program Serahan Bantuan Banjir DUN Meru di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru, Klang pada 19 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

11,000 penduduk DUN Meru mohon bantuan banjir, 40 peratus selesai diagih

KAJANG, 8 FEB: Seramai 11,000 penduduk terjejas banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru memohon Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat ini.

Wakil rakyat Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata daripada jumlah itu kira-kira 40 peratus sahaja yang sudah menerima sumbangan tunai RM1,000 tersebut.

“Saya harap mereka yang belum dapat diminta sedikit bersabar, Kerajaan Negeri akan cuba menyelesaikan perkara ini segera mungkin supaya semua individu yang mohon menerima bantuan ini.

“Kelewatan ini juga adalah berpunca daripada pelbagai isu seperti penipuan dan pertindihan permohonan. Kita faham dalam situasi sekarang semua terdesak dan mana yang benar-benar terkesan kita akan utamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Forum Industri Halal Selangor 2.0 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) di sini hari ini.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah pada Disember 2021.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai hujung bulan ini.


Pengarang :