Pembaikan semula benteng di Bukit Changgang, Kuala Langat bagi menghalang limpahan air sungai pada 3 Januari 2022. Foto tular yang dikongsi di Facebook Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor
AGENDA NASIONAL

Selangor, negeri pantai timur diutamakan naik taraf ban atasi banjir

KUALA TERENGGANU, 24 FEB: Langkah mitigasi terutama usaha menaik taraf ban bukan sahaja difokuskan kepada negeri sering dilanda banjir seperti di pantai timur malah termasuk di Selangor, walaupun negeri itu jarang mengalami banjir besar seperti baru-baru ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata setiap kali dilanda banjir, negara mengalami kerugian sangat besar sehingga berbilion ringgit, justeru penyelesaian secara one-off perlu dilaksanakan segera dengan turut mengambil kira negeri itu.

“Kita akan bagi keutamaan (naik taraf ban) kawasan biasa berlaku banjir seperti negeri-negeri di pantai timur seperti Kelantan, Terengganu, Pahang serta Johor dan termasuk juga di Selangor yang sebelum ini tidak pernah (banjir besar).

“Contoh seperti di Selangor, kita tengok ban yang ada sudah tidak memadai dan perlu ditinggikan atas faktor cuaca, paras air laut yang semakin meningkat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan projek menaik taraf parit di Kampung Kubang Parit di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media baru-baru ini yang menyatakan penduduk yang tinggal di pesisir pantai berisiko diancam impak melampau perubahan iklim dalam tempoh 10 tahun akan datang jika langkah mitigasi terutama usaha menaik taraf ban pantai tidak dilaksanakan segera.

Ditanya mengenai peruntukan khusus untuk menaik taraf ban, Tuan Ibrahim berkata jumlahnya tidak dapat dinyatakan lagi, namun ia akan melibatkan peruntukan yang agak besar.

Beliau berkata peruntukan yang diperlukan bagi cadangan penyelesaian jangka masa panjang fenomena banjir di seluruh negara melebihi RM300 bilion dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa sehingga 2100.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata dianggarkan lebih kurang RM10 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf pelbagai sistem termasuk ban, tebatan banjir, saliran bandar dan pemuliharaan sumber air di seluruh negara.

Sementara itu, mengenai projek di Kampung Kubang Parit, beliau berkata sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan untuk kerja melibatkan proses naik taraf parit tanah kepada longkang konkrit sepanjang kira-kira satu kilometer.

“Kawasan ini asalnya ialah kawasan pertanian tapi sudah banyak berubah sebab banyak perumahan, jadi kita dapati sistem perparitan ini perlu diselenggara dengan baik… Projek ini dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :