Jemaah umrah yang baru pulang ke tanah air menunggu proses saringan kesihatan dan pemakaian peranti penjejak digital di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 30 Disember 2021. Foto Facebook Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDA NASIONAL

Tangguh umrah, jemaah dapat sagu hati RM1,671 mulai 18 Februari

SHAH ALAM, 13 FEB: Jemaah umrah yang terpaksa membatalkan perjalanan ke Mekah susulan penularan varian Omicron akan menerima sagu hati berjumlah RM1,671 pada 18 Februari.

Bayaran itu akan dikreditkan ke akaun simpanan Tabung Haji (TH) penerima setelah dipersetujui dalam mesyuarat beberapa kementerian sebelum ini, kata menteri hal ehwal agama.

Menurut Datuk Idris Ahmad, seramai 8,027 jemaah umrah yang terkesan layak menerima ganti rugi itu namun hampir 1,000 dikesan belum mempunyai akaun simpanan TH.

“Oleh kerana kaedah bayaran melalui akaun simpanan TH, maka saya menyeru semua jemaah umrah yang belum mempunyai akaun untuk membukanya sebelum 18 Februari,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata pendaftaran akaun boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan www.thijari.com.my dan hadir ke kaunter TH terdekat bagi proses pengaktifan secara biometrik.

Idris menambah, mereka juga boleh merujuk mana-mana cawangan TH untuk pendaftaran secara manual dan akan dilayan serta-merta tanpa perlu beratur atau menunggu lama.

“Saya juga maklumkan kepada TH supaya segala tuntutan pembayaran ini dipermudah semaksimumnya supaya tidak berlaku kesulitan yang besar terhadap tuntutan ini,” katanya lagi.

Kerajaan menangguhkan sementara kebenaran umrah bermula 8 Januari susulan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah dan membenarkannya semula sebulan selepas itu.


Pengarang :