Gelandangan yang juga warga emas dibawa oleh ADN Kampung Tunku Lim Yi Wei untuk mendapatkan suntikan dos penggalak di pusat pemberian vaksin di Paradigm Mall, Petaling Jaya baru-baru ini. Foto Facebook Lim Yi Wei
ADN SELANGOR

Warga emas rosak saraf kaki, tidur luar kedai dobi dibantu ADN Kampung Tunku

SHAH ALAM, 24 FEB: Nasib seorang warga emas yang hidup dalam kedaifan hingga terpaksa tidur di luar kedai dobi di SS2 Petaling Jaya mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku.

Menurut Lim Yi Wei, gelandangan berusia 62 tahun itu dibawa ke Rumah Orang-Orang Tua Seri Setia di Kampung Baru Sungai Way kelmarin supaya mendapat penjagaan rapi.

Beliau berkata warga emas itu turut dibawa membuat saringan ujian pantas antigen (RTK) dan polimerase masa nyata (PCR) sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami juga mendapati beliau mengalami kerosakan saraf pada kaki menyebabkan pergerakannya tersentak-sentak dan tidak stabil. Kami menyewa sebuah bilik di hotel bajet untuknya.

“Selepas disahkan negatif Covid-19, kami membawanya pula untuk menjalani ujian darah dan air kencing,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Yi Wei menambah lelaki terbabit kemudian dibawa ke pusat pemberian vaksin di Paradigm Mall bagi mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Semasa memapah pakcik ke klinik dan lokasi-lokasi lain, saya terkenang mendiang datuk dan nenek saya. Semoga pakcik hidup lebih baik bawah penjagaan warga Sungai Way,” katanya.

 


Pengarang :