Pengunjung perlu mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki premis. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bimbang keselamatan data pengguna, Anwar pertikai kerajaan jual MySejahtera

SHAH ALAM, 26 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai penjualan MySejahtera kepada syarikat swasta sedangkan aplikasi itu diseliakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini.

Ketua pembangkang turut mendesak kerajaan supaya memberi penjelasan berhubung penjualan aplikasi itu yang tidak dibuat melalui tender terbuka atas dasar ketelusan.

“Apa sebab-sebab MySJ Sdn Bhd menjadi satu-satunya syarikat yang ditimbang tara untuk projek ini?.

“Apakah skop dan kepakaran MySJ Sdn Bhd terkait pengoperasian MySejahtera dan bagaimana KKM boleh memastikan data dalam aplikasi itu tidak disalah guna pihak ketiga termasuk MySJ Sdn Bhd,” katanya menerusi kenyataan.

Anwar turut membangkitkan sama ada syarat kontrak tertakluk kepada jaminan dibuat KKM sebelum ini mengenai data kesihatan peribadi, dasar kerahsiaan MySejahtera dan undang-undang mengawal selia kerahsiaan data individu.

“Apakah peranan dan tanggungjawab MySJ Sdn Bhd dalam memastikan data yang dikongsi rakyat Malaysia melalui MySejahtera tidak digunakan untuk tujuan pemasaran, pembangunan produk, pemantauan mahupun untuk tujuan yang berunsur diskriminasi?” katanya.

Terdahulu, Anwar memaklumkan keputusan penyerahan itu diluluskan kabinet pada 26 November 2021 yang membenarkan KKM untuk melantik MySJ Sdn Bhd melalui mekanisme runding terus.

Kelmarin, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan pengambilalihan aplikasi MySejahtera daripada KPISoft Malaysia Sdn Bhd oleh MySJ Sdn Bhd.

Pengerusinya Wong Kah Woh menyuarakan kebimbangan sama ada KPISoft menjual hak ke atas aplikasi kepada MySJ Sdn Bhd untuk mendapatkan wang selain mempertikaikan mengapa kontrak itu diberikan melalui rundingan terus.

Pada Disember tahun lepas, PAC pernah mengesyorkan kerajaan supaya mengambil alih operasi MySejahtera tanpa kos tambahan memandangkan aplikasi tersebut menjadi elemen penting dalam sistem kesihatan negara.

Aplikasi MySejahtera dibangunkan KPISoft secara percuma menerusi tanggungjawab sosial korporat, yang ditamatkan pada 31 Mac tahun lalu.


Pengarang :