Kebakaran dan kepulan asap kelihatan di unit Kementerian Pertahanan Ukraine selepas Presiden Rusia Vladimir Putin membenarkan operasi ketenteraan di timur Ukraine, di Kyiv pada 24 Februari 2022. Foto REUTERS
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ciptaan syarikat Elon Musk, Starlink beri kelebihan besar kepada Ukraine lawan Rusia

Oleh Zamir Mohyedin, penyelidik kedoktoran di Universiti Teknologi Mara dan penulis buku isu-isu sains

Salah satu taktik Rusia untuk melemahkan Ukraine di dalam Perang Rusia-Ukraine ialah melakukan serangan siber yang berpotensi meruntuhkan seluruh sistem internet di Ukraine – sebahagian liputan internet di Ukraine telah pun terganggu disebabkan oleh pertempuran. Sebelum keseluruhan liputan internet terganggu, tidak dapat tidak, Ukraine perlu mengambil tindakan untuk memastikan rangkaian internet terus hidup. Internet telah menjadi peralatan penting untuk berkomunikasi, lebih-lebih lagi sewaktu peperangan untuk memastikan rakyat dan pihak kerajaan terus menerima maklumat tentang apa yang terjadi sebagai langkah persediaan dan berjaga-jaga.

Pada 26 Februari, Menteri Transformasi Digital Ukraine Mykhailo Fedorov mengambil langkah untuk memastikan serangan siber daripada Rusia dapat dipatahkan. Beliau meminta pertolongan daripada beberapa syarikat teknologi gergasi seperti Apple, YouTube, Meta dan SpaceX untuk membantunya. Apple menghentikan jualannya di Rusia. YouTube pula memadamkan semua laporan daripada media yang dikawal oleh Rusia. Elon Musk daripada Space X menghulurkan bantuan dengan mengaktifkan perkhidmatan Starlink di Ukraine. Pertolongan Musk disambut oleh negara-negara Eropah dengan menghantar peralatan-peralatan Starlink untuk dibangunkan di Ukraine.

Internet merupakan sistem global yang saling berhubung antara rangkaian komputer dan peranti. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa internet satu dunia berhubung melalui kabel gentian optik yang dipasang di bawah tanah dan di lantai lautan. Untuk berhubung antara benua Amerika dan seluruh benua lain, kabel gentian optik dipasang di lantai lautan Atlantik. Kemudian, pencawang yang berhubung dengan kabel gentian optik dipasang untuk memancarkan isyarat.

Kabel gentian optik telah menjadi tulang belakang rangkaian internet di seluruh dunia. Sebarang kerosakan yang berlaku pada kabel ini akan menyebabkan gangguan internet yang begitu besar. Pada 2008, telah berlakunya pemotongan kabel gentian optik di Alexanderia, Mesir yang telah mengakibatkan gangguan internet besar-besaran di seluruh semenanjung Arab dan India. Malah, gangguannya sampai ke Singapura dan Indonesia. Sebab itulah, gangguan gentian optik di sekitar Ukraine boleh menyebabkan seluruh rangkaian internet di negara itu terpadam. Perkara ini boleh memberikan kelemahan dan ancaman kepada Ukraine dalam situasi peperangan.

Kebergantungan kita kepada kabel gentian optik di dasar lautan menjadikan hampir separuh populasi dunia tidak mendapat akses internet. Pemasangan kabel gentian optik di bawah tanah ataupun di dasar lautan diperlukan untuk membolehkan mereka mendapat akses dan hal ini menelan kos yang sangat tinggi. Justeru, terdapat usaha untuk memberikan akses internet melalui satelit. Pancaran daripada satelit begitu fleksibel, menjadikan ramai orang dapat akses internet di mana sahaja.

Elon Musk dengan perbelanjaan sekurang-kurangnya AS$10 bilion dolar cuba untuk realisasikan projek ini – dikenali sebagai Starlink. Setakat Mac 2021, sebanyak 2,335 buah satelit telah dilancarkan dan mengorbit Bumi. Musk merancang untuk lancarkan sebanyak 12,000 satelit dalam tempoh lima tahun. Sasaran terbesarnya ialah sebanyak 42,000 satelit yang akan mengelilingi bumi untuk meliputi lebih banyak pengguna di seluruh dunia. Tidak seperti satelit-satelit lain, satelit Starlink berada lebih rendah di orbit bumi iaitu sekitar 300 km hingga 600 km dari permukaan bumi. Hal ini untuk memastikan pancaran yang diterima oleh pengguna lebih pantas.

Konsep Starlink tidak jauh berbeza seperti konsep rangkaian internet tradisional (kabel gentian optik). Pengguna masih perlu mendapatkan penghala (router) dan antena untuk dapatkan akses daripada Starlink. Bezanya ialah, kabel gentian optik sangat terbatas terutamanya di kawasan pedalaman. Tidak begitu berbaloi untuk kabel gentian optik dipasang di kawasan yang rendah kepadatan penduduk. Jika terganggu, proses untuk pembaikan mengambil tempoh lama dan kos yang tinggi.

Hal ini menjadikan Starlink mempunyai kelebihan daripada sudut ketersediaannya kerana ia mudah bergerak meliputi seluruh dunia. Situasi peperangan di Ukraine memperlihatkan Starlink terus dapat disediakan dengan pantas, tidak seperti kabel gentian optik. Selain itu, Starlink juga menawarkan pancaran internet yang lebih laju berbanding gentian optik disebabkan kependaman (latency) rangkaiannya lebih rendah. Kependaman bermaksud tempoh isyarat internet anda bergerak antara peranti dan pelayan (server). Setakat ini, Starlink dapat menawarkan kependaman serendah 20 ms dan kelajuan muat turun setinggi 300 Mbps. Setakat ini, Starlink telah tersedia di 29 negara termasuk Ukraine.

Ketersediaan Starlink telah memberikan kelebihan yang besar kepada Ukraine untuk melawan Rusia dengan memastikan Ukraine sentiasa berada dalam talian. Baru-baru ini, sistem satelit Starlink telah membantu unit naning (drone) Ukraine memusnahkan persenjataan Rusia. Starlink juga telah memberikan liputan internet di kawasan pedalaman yang sebelum ini tidak dapat dicapai oleh kabel gentian optik. Starlink juga telah membantu Ukraine menjejak tentera-tentera Rusia. Tambahan lagi, peperangan dan bencana alam telah menyebabkan banyak pencawang internet yang berhubung dengan kabel gentian optik terganggu. Hal ini menjadikan Starlink teknologi yang begitu kritikal pada saat ini kepada kerajaan Ukraine.


Pengarang :