Dato’ Seri Amirudin Shari melihat peralatan skuad bencana selepas merasmikan Pusat Operasi Skuad Bencana DUN Gombak Setia di Dewan Beringin Taman Seri Gombak, Gombak pada 2 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

MB: Pembelian aset bakal perkukuh pengurusan bencana peringkat daerah

SHAH ALAM, 21 MAC: Jawatankuasa Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor akan diperkukuhkan di peringkat daerah, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu perlu dilaksanakan khususnya membabitkan aspek aset ketika berlakunya sebarang bencana.

“Unit ini sememangnya bertindak dalam pengurusan bencana. Jika dilihat, apabila berlaku bencana berskala kecil seperti runtuhan tanah di sesebuah lokaliti, unit ini mampu mengawalnya.

“Bagaimanapun, apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah pengukuhan jawatankuasa bencana di peringkat daerah. Hal ini boleh dipertimbangkan kerana ketika berlaku bencana berskala besar seperti 17 Disember lalu, unit ini tidak dapat pergi ke semua lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi membahas usul mengenai bencana banjir pada Disember tahun lalu yang dibawa wakil rakyat Kota Damansara Shatiri Mansor.

Amirudin turut memaklumkan Kerajaan Negeri turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membeli beberapa aset untuk kegunaan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Negeri Selangor.

“Kita ingin pertingkatkan keupayaan Skuad Pantas daripada segi kemampuan, peralatan dan aset untuk proses evakuasi serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang lebih pantas sementara menunggu bantuan lebih besar,” katanya.


Pengarang :