Tatacara operasi piawai SOP pemeriksaan suhu badan dan buku rekod daftar masuk ke premis dimansuhkan bermula pada 11 Februari 2022 dan hanya daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan seperti biasa. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tiada lagi perubahan status sebagai kontak kasual di MySejahtera

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Tiada lagi perubahan status di aplikasi MySejahtera sekiranya orang ramai dikesan sebagai kontak kasual (kuning) kepada kes positif Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy menerusi ciapan di laman Twitter beliau berkata sebaliknya individu berkenaan hanya akan menerima notifikasi memaklumkan mereka adalah kontak kasual.

“Sebelum ini apabila MySJ trace/check-in mengesan anda sebagai kontak kasual kes positif, status di MySJ akan bertukar kepada kontak kasual (kuning).

“Kini tiada lagi perubahan status. Tetapi anda akan menerima notifikasi. Jika bergejala, asingkan diri dan lakukan ujian kendiri,” katanya.

Khairy turut memuat naik poster mengenai langkah meningkatkan penilaian kendiri Covid-19 Kementerian Kesihatan: Tingkatkan Penilaian Kendiri Covid-19 merangkumi lima peringkat iaitu 1: Test (Uji), 2: Report (Lapor), 3: Isolate (Asing), 4: Inform (Maklum) dan 5: Seek (Dapatkan rawatan).

Poster berkenaan antaranya menggesa orang ramai mendapatkan rawatan segera di pusat perubatan atau Pusat Penilaian Covid-19 sekiranya alami gejala berat seperti kesukaran bernafas dan suhu badan terlalu tinggi.

-BERNAMA

 


Pengarang :