Pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) penjarakan fizikal ketika melakukan aktiviti riadah di Bukit Jugra, Kuala Langat pada 11 September 2021 selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran dan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelan pelancongan norma baharu jamin kelangsungan industri pascawabak

SHAH ALAM, 14 MAC: Pelan tindakan pemulihan berkonsep perjalanan dan pelancongan selamat diharap menjamin kelangsungan industri itu di negeri ini yang terkesan akibat Covid-19.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor juga berharap pelan tersebut mampu menjadikan Selangor kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan di Malaysia dan global.

“Industri pelancongan merupakan sektor paling terkesan dengan impak pandemik Covid-19. Pemulihan industri ini perlu dilaksanakan segera dengan memperkenal aktiviti pelancongan norma baharu,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.

Baginda bertitah pelan tindakan yang dirangka menekankan aspek keselamatan, transformasi pendigitalan, kemampanan serta kelangsungan perniagaan dan perkhidmatan ekosistem pelancongan.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk RM114.6 juta bagi merangsang semula sektor pelancongan negeri pascapandemik bagi tempoh lima tahun hingga 2025.

Inisiatif dibuat meliputi geran bantuan pemulihan kepada penggiat industri, pemerkasaan kempen Pusing Selangor Dulu dan Kempen Splendid Selangor.

Selain itu, penyediaan dan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) ‘Selamat dan Sihat’, penganjuran Persidangan Global Tourism Selangor serta pembangunan infrastruktur pelancongan dan kraftangan.

 


Pengarang :