Suasana di sekitar Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 4 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Persidangan halal platform promosi keunikan produk, lonjak industri pasca Covid-19

SHAH ALAM, 5 MAC: Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) 2022 membuka ruang kepada pempamer untuk memperkenalkan pelbagai produk unik kepada umum.

Seorang pempamer berkata masih ramai belum mengenali dan mencuba kerepek nangka madu, pisang dan labu jenama PakChips meskipun produk berkenaan berada di pasaran tempatan sejak 2016.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Marhas Trading Zulkarnain Hasni. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Malah Zulkarnain Hasni, 29, memaklumkan ketiga-tiga produk yang dihasilkan daripada buah asli sudah menembusi pasaran Jepun sejak tahun lepas.

“Kebanyakan usahawan memiliki produk sendiri yang cukup bagus, cuma ada orang awam masih belum tahu. Jadi program ini bagus supaya pengusaha dapat mempromosikannya.

“Saya juga percaya Selhac mampu membantu mengembangkan lagi pasaran kerepek ini sama ada secara fizikal mahupun dalam talian,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Beliau yang juga pengurus pembangunan perniagaan Marhas Trading mengakui produk halal menjadi suatu keperluan terhadap rakyat memandangkan majoriti rakyat di negara ini beragama Islam.

Pengarah Profes Lipid, Steven Lee. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi pempamer Steven Lee, 41, Selhac menjadi platform terbaik untuk  mengetengahkan minyak sawit merah keluaran syarikat Harvist yang berada di pasaran tempatan sejak 2016.

“Mungkin ada yang belum mengenali minyak masak ini. Mereka patut cuba kerana produk ini mempunyai khasiat seperti menguatkan sistem imunisasi, melambatkan penuaan serta mengurangkan risiko penyakit jantung.

“Justeru program ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk memperkenal produk kepada pengunjung selain melonjak semula perniagaan selepas dilanda Covid-19,” katanya yang juga pengarah syarikat berkenaan.

Program julung kali anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Selhac berlangsung dari Jumaat hingga Ahad mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat menyertai Selhac terdiri enam kluster iaitu makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.


Pengarang :