Jaafar Ahmad Kurnai, 28, (kiri) dan rakannya Mohd Najib Mohd Daud, 30, memasang bendera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerang, Ayer Hitam pada 3 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRN Johor: Pemilih baru, pengundi atas pagar belum buat pilihan

SHAH ALAM, 10 MAC: Semua parti termasuk Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berdepan teka-teki susulan kebanyakan pengundi khususnya mereka yang pertama kali membuang undi belum menunjukkan kecenderungan mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan KEADILAN Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin percaya cabaran tersebut dirasai semua parti sekali gus situasi itu membuka peluang kepada semua pihak.

Justeru, ahli parlimen Hang Tuah Jaya itu menjelaskan jentera KEADILAN kini mempergiat kempen terhadap pemilih baharu dan pengundi atas pagar bagi memastikan sokongan mereka.

“Contohnya di DUN Rengit. Kita kalah tetapi apabila Barisan Nasional (BN) letak Datuk Mohd Puad Zarkashi, kita tengok sentimen orang muda berbeza dan beri harapan untuk calon kita (Khairuddin A Rahim).

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berucap ketika program Majlis Jelajah Presiden Negeri Selangor 2020 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 7 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Setakat ini, maklum balas di 20 kawasan adalah baik. Kita laksanakan pelbagai kaedah kempen kerana ada kekangan tatacara operasi piawai (SOP) termasuk menghubungi pengundi melalui telefon,” katanya kepada SelangorKini.

Yakin menang sebahagian besar daripada 16 kerusi yang ditandingi, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan turut menganggap faktor pengundi baharu sebagai cabaran besar selain masalah kekangan kempen.

“Saya boleh kata sembilan kerusi cerah, lainnya kita boleh beri cabaran,” katanya yang mempertahan kerusi DUN Parit Yaani dalam saingan empat penjuru. Beliau dicabar Ahmad Nawfal Mahfodz (Perikatan Nasional), Datuk Mohd Nakib Samuri (BN) dan Mohd Ridhauddin Mohd Tahir (Pejuang).

Menurut Ahli Jawatakuasa DAP Pusat Ronnie Liu Thian Kiew pula, pihaknya tetap berwaspada walaupun yakin mampu mengekal 14 kerusi yang dimenanginya pada 2018 jika pengundi keluar beramai-ramai.

“Kita mahu elak perkara di Melaka berulang. Ramai penyokong terutama dari luar tidak balik mengundi menyebabkan HARAPAN kalah banyak kawasan. DAP sedang memperhebat kempen balik mengundi,” katanya.

Dalam PRN Johor, KEADILAN yang bertanding atas logo sendiri meletakkan 20 calon manakala DAP dan Parti Amanah Negara meletakkan 30 calon.

Seramai 2,597,742 pengundi bakal membuang undi pada 12 Mac termasuk kira-kira 750,000 pengundi baharu.


Pengarang :