Orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan dalam program Jualan Prihatin Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Gombak Permai, Gombak pada 13 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program jualan murah diteruskan ke Klang, Petaling minggu ini

SHAH ALAM, 26 MAC: Program Intervensi Ehsan yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga rendah diteruskan lagi pada hari ini dan esok di daerah Klang dan Petaling.

Dato’ Menteri Besar mempelawa orang ramai hadir ke Padang Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang dan Flat Seri Sementa hari ini manakala esok di Balairaya MPKK Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang dan Pangsapuri Rebana, Bandar Bukit Raja mulai jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Minggu ini, Program Intervensi Ehsan akan menjelajah ke daerah Klang dan Petaling. Barangan keperluan dapur akan dibawa dan dijual lebih murah daripada harga semasa pasaran untuk dinikmati rakyat setempat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Berdasarkan poster dikongsi beliau, orang ramai boleh membeli ayam segar seekor pada harga RM12, telur (RM10), daging segar (RM35/kg), ikan kembung, selayang (RM8/kg) dan minyak masak paket (RM2).

Pada 27 Februari, Kerajaan Negeri memutuskan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah sehingga menjelang Aidilfitri menerusi program jualan prihatin rakyat.

Program pada setiap Sabtu dan Ahad secara berkala di seluruh negeri adalah susulan program intervensi harga makanan ehsan yang dilancar Dato’ Menteri Besar awal Februari lalu.

Sebanyak 62 lokasi sudah dikenal pasti bagi tujuan berkenaan iaitu 24 di bawah Selangor Agro Market manakala selebihnya di bawah PKPS.


Pengarang :