Pegawai polis bersenjata menjaga kawasan luar Masjid Al Noor, lokasi serangan pengganas yang mengorbankan lebih 40 nyawa semasa solat Jumaat di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac 2019. Foto REUTERS
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Serangan masjid: Trauma tembakan tidak mudah hilang

Setahun setengah selepas ditembak pengganas hingga tidak sedarkan diri dan terpaksa diusung ke unit rawatan rapi, Rahimi Ahmad masih teringat-ingat mayat yang bergelimpangan.

“Saya agak sukar tidur dan kadang-kadang ada lintasan jenazah-jenazah yang menindih atas badan saya, yang berada di tepi saya,” katanya, 42, kepada media pada Ogos 2020.

Dalam keterangannya di mahkamah sebelum pengganas Brenton Harrison Tarrant dijatuhkan hukuman, anak kelahiran Pulau Pinang itu menjelaskan beliau sering meracau ketika tidur.

“Saya ke masjid (Al Noor) sekali sahaja selepas kejadian tembakan, tidak sanggup lagi berada di sana kerana ia mengingatkan saya pada mimpi ngeri dan isteri memberitahu saya meracau di dalam tidur,” katanya di depan hakim.

Tambahnya, anaknya yang masih bersekolah rendah waktu itu sering mendapat mimpi ngeri sehingga sukar tidur selama empat bulan selepas kejadian tersebut.

“Saya rasa bersalah bawa anak (10 tahun) ke masjid pada hari itu dan saya salahkan diri sendiri atas apa yang terpaksa diharunginya,” keterangannya dipetik.

Diminta mengulas insiden serangan tersebut selepas hampir genap tiga tahun, Rahimi memberitahu Selangorkini:

“(Saya) masih trauma terutama mengingatkan mangsa terkorban dan kekejaman. (Tidak pernah lagi ke Al Noor), sekarang saya solat Jumaat di tempat lain bersama-sama mangsa peristiwa 15 Mac.”

Akibat keracunan daripada banyak serpihan halus peluru yang menjejaskan saraf tunjangnya, buah pinggang dan pundi kencing beliau masih dalam pemantauan doktor.

“Sehingga sekarang kaki kanan saya masih tidak dapat digerakkan (lumpuh), kaki kiri juga sentiasa sakit,” katanya secara ringkas melalui jawapan bertulis.

“Saya masih menggunakan kerusi roda untuk bergerak, tidak dapat berdiri lama dan sentiasa rasa sakit dan bisa dari bahagian pinggang ke bawah. Saya masih perlu mengambil ubat-ubatan yang tinggi dos setiap hari.”

Isteri beliau pula terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya sekeluarga dan kini berniaga masakan Malaysia dari rumah di sana bagi menampung sara hidup mereka.

Walau anak pekerja kilang susu itu terselamat, dua lagi warga Malaysia Mohd Tarmizi Shuib, 49, dan Mohd Nazril Hisham Omar, 49, turut ditembak.

Sementara anak Mohd Tarmizi, 17 tahun, meninggal dunia di muncung senjata pengganas kulit putih yang menyerang dua masjid Christchurch.

Rahimi ditembak di badan dan kaki, Tarmizi pula cedera di belakang badan, manakala Nazril cedera di kaki serta belakang.

Setelah tiga tahun berlalu, Noor Yahaya Hamzah, 58, menyedari trauma tembakan yang mengorbankan 51 umat Islam dan mencederakan 40 orang tidak mudah hilang.

Terpaksa sorok tudung

Hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol, hukuman paling berat di New Zealand, terhadap Tarrant, sekarang 32, tidak dapat membuang sisa kezalimannya.

Rahimi menjalani latihan berjalan dibantu oleh fisioterapi, bapa kepada dua cahaya mata itu ditembak di badan dan kaki dalam serangan oleh seorang pengganas kulit putih ketika solat Jumaat di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand, 15 Mac 2019

“Memang masih ada yang trauma. Saya ada mendengar seorang jemaah wanita kini jarang keluar rumah,” kata Noor Yahaya kepada Selangorkini tanpa huraian lanjut.

Kesan psikologi ini khususnya wanita turut disebut dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Serangan Pengganas Terhadap Dua Masjid Christchurch yang siap hujung 2020.

“Selepas serangan pengganas, (wanita) mengelak ke tempat awam dan melakukan rutin harian seperti berjalan kaki hantar anak ke sekolah atau bersiar-siar waktu petang.

“Seorang wanita menceritakan kepada kami (anggota RCI) dia kini memakai jaket berpenutup kepala setiap kali muncul di tempat awam bagi menyorok tudungnya,” bab ‘Life in New Zealand as a Muslim’ laporan RCI dipetik.

Walau pada umumnya kira-kira 40,000 penduduk Islam, atau hampir satu peratus warga New Zealand, melihat negara itu dengan positif tetapi diskriminasi, perkauman dan sentimen anti-Islam masih berkembang.

Layanan pihak berkuasa sebelum, ketika dan selepas kejadian itu tidak banyak membantu, termasuk tidak memaklumkan kematian akibat tembakan kepada keluarga.

“Sebilangan anggota keluarga mangsa terpaksa menonton video (rakaman siaran langsung) serangan untuk mengesahkan orang kesayangan mereka terbunuh,” laporan bab ‘Impact of the Terrorist Attack’ dipetik.

Aduan isu gangguan berunsur kaum atau agama sebelum tragedi itu didakwa tidak diendahkan sehingga umat Islam malas membuat aduan polis lagi.

Namun, menurut Noor Yahaya lagi, kawalan keselamatan di rumah-rumah ibadat mula diperketatkan. Ditanya layanan terhadap umat Islam, beliau berkata:

“Selama saya di sini (sejak 1998), layanan sama sahaja. Mungkin selepas peristiwa itu, umat Islam dapat perhatian. Ràmai ingin tahu tentang Islam. Kami masih bebas menjalani aktiviti keagamaan. Bagaimanapun pemantauan keselamatan agak ketat sekarang.”

Otak menitis ke muka

Begitu juga perasaan Temel Atacocugu, 47, mangsa sembilan das tembakan termasuk di mukanya. Beliau tidak mudah tunduk pada kejahatan tersebut. Malah warga berdarah Turki itu sedang mengadakan kempen Berjalan Kaki Demi Keamanan untuk mengutip derma bagi beberapa yayasan kanak-kanak.

Seperti juga Rahimi yang berpura-pura mati, Temel yang tidak bergerak ketika pengganas itu menghampirinya kali kedua bertolak dari Dunedin, tempat tinggal Tarrant yang terletak kira-kira 360 kilometer di selatan Christchurch.

Berjalan dari Octagon mulai 29 Februari, beliau dijangka sampai ke Masjid Al Noor pada 15 Mac ini sempena tahun peringatan ketiga serangan tersebut.

Masih suka tinggal di New Zealand, dalam keterangan di depan hakim, Temel mencerita bagaimana darah dan otak mangsa di atas badannya menitis ke muka dan lehernya.

“Tidak dapat dibayangkan hidup tanpa rasa sakit seumur hidup saya. Namun saya berazam untuk pilih cara positif bagi mengatasi kesakitan ini dan menerima hakikat saya kini cacat,” katanya, yang cedera bahagian gigi akibat tembakan pertama, di mahkamah.

Masyarakat Islam kebanyakannya penghijrah dari benua India, Asia Tenggara, Timur Tengah, Balkan dan Afrika. Anggaran pada 2006 menyebut jumlah mereka antara 30,000 hingga 50,000 orang.

Kebanyakan tinggal di bandar besar seperti Auckland dan Wellington sejak kedatangan sejumlah kecil pada abad ke-19. Namun rekod bancian sebelum 1874 tidak diperolehi.

Selain berniaga, menurut Noor Yahaya, majoriti bekerja sebagai buruh kasar dalam bidang 3D (kotor, bahaya dan sukar) selain pemandu teksi dan pekerja kilang.

Berkongsi kehidupan di sana, anak Selangor itu yang kini berstatus penduduk tetap menjelaskan beliau tidak menghadapi sebarang masalah, tekanan atau diskriminasi.

“Cabaran besar untuk kekal identiti Islam. Diskriminasi di sini diharamkan. Tiada gerakan anti-Islam yang wujud secara terbuka. Kerajaan juga komited melenyapkan kebencian (kaum atau agama),” katanya.

Setelah berasa pendapatannya tidak seberapa ketika bekerja di sebuah pasar raya di Shah Alam, beliau berhijrah untuk mencari sinar baharu.

“Saya berhijrah kerana kehidupan saya di Malaysia dahulu agak susah. Gaji rendah dan barang mahal, sewa mahal. Masa bekerja juga panjang,” jelasnya.

“Kena kerja 48 jam seminggu, biasanya. Tempat kerja pula jauh dari rumah dan ulang-alik ambil masa lama, sampai tiga jam sehala. Kereta tidak mampu dibeli.”

Pada awalnya bekerja di kilang dan hotel, namun sejak 10 tahun lalu, Noor Yahaya bertugas di bahagian stor pasar raya. Menurutnya lagi, walau kos sara hidup agak tinggi di New Zealand tetapi insentif seperti gaji minimum mengimbangi kesannya.

Mengakui ada kalanya rindu kampung halaman di Tanjong Karang, Noor Yahaya sememangnya mahu kembali ke tanah tumpah darahnya. “Memang kalau ada rezeki, saya juga ingin balik ke sana tetapi hendak duduk di kampung,” katanya.

 

KEJADIAN

Bandar: Christchurch, New Zealand
Lokasi (masa): Masjid Al Noor (1.40 petang) & Pusat Islam Linwood (1.52 petang)
Tarikh: 15 Mac 2019
Penembak siar secara langsung pembunuhan melalui Facebook dan rancang ke masjid ketiga sebelum ditangkap polis

SIAPA PENEMBAK

Nama: Brenton Harrison Tarrant
Umur: 28 tahun (waktu kejadian)
Asal: Grafton, New South Wales, Australia
Pindah: menetap di Teluk Andersons, Dunedin (360km selatan Christchurch) mulai 2017 dengan niat lakukan keganasan
Senjata api: dua rifel AR-15, senapang Mossberg 930, senapang Ranger 870, rifel .357 Magnum Uberti dan .223 Mossberg Predator. Lebih 7,000 peluru
Ditangkap: di Jalan Brougham, 20 minit selepas polis terima panggilan
Rancangan: tonton video media sosial keadaan di dalam Masjid Al Noor, selain guna dron tinjau persekitaran dan laluan masjid
Ideologi: pelampau perkauman kulit putih, percaya pada Teori Penggantian Besar kononnya etnik Eropah akan dikuasai umat Islam melalui penghijrahan
Lawatan: negara-negara Asia termasuk Malaysia dan Eropah antara 2014 hingga 2017. Mula berhubung dengan kumpulan pelampau di negara-negara Eropah selain komunikasi atas talian

SIAPA MANGSA

Jumlah: 51 orang termasuk empat wanita
Siapa: paling muda Mucad Ibrahim, 3, hingga paling tua Musa Nur Awale, 77, asal Somalia
Cedera: 40 orang
Warga Malaysia: Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, terbunuh. Tiga cedera, dua selamat


PERTUDUHAN & PENGHAKIMAN

Mahkamah Daerah Christchurch
16 Mac 2019
Pertuduhan awal: membunuh
Mahkamah Tinggi Christchurch

26 Mac 2020
92 pertuduhan: mengaku salah membunuh 51 orang, cubaan membunuh 40 orang lagi dan keganasan
Keputusan: 24-27 Ogos 2020
Hakim: Cameron Mander
Hukuman: penjara seumur hidup tanpa parol, hukuman tertinggi & kes terorisme pertama di New Zealand
Apa kata hakim: “Jenayah kau ini terlalu zalim, kalaupun kau dipenjara hingga mati, ia masih tidak memadai sebagai hukumannya.”
Di mana sekarang: Unit Banduan Berisiko Paling Tinggi, penjara Auckland yang memakan kos besar dengan 18 pengawal. Digelar “penjara di dalam penjara”

REAKSI

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (15 Mac 2019):

Malaysia sangat-sangat kesal dengan kejadian lebih 40 orang maut ditembak ketika solat Jumaat di dua masjid di Christchurch. Kami berharap kerajaan New Zealand menangkap dan mengambil tindakan terhadap pengganas itu mengikut undang-undang.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern (27 Ogos 2020):

Trauma akibat 15 Mac tidak mudah sembuh tetapi hari ini saya berharap menjadi saat terakhir untuk kita mendengar atau menyebut nama pengganas. Dia layak (dihukum) selama-lamanya terasing sepi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (22 Mac 2019):

Tragedi menyayat hati di Christchurch yang meragut nyawa Muhammad Haziq satu titik hitam dalam sejarah kemanusiaan. Semoga Allahyarham dan 49 korban lagi ditempatkan bersama syuhada dan salehin. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga.

Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim (15 Mac 2019):

Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam dan mengerikan yang berlaku pada masjid di Christchurch, New Zealand.


SIASATAN LANJUT

26 November 2020: Suruhanjaya siasatan diraja (RCI) keluarkan laporan 800 halaman dengan 44 syor termasuk pemilikan senjata api, jenayah kebencian dan agensi keselamatan serta perisikan baharu

22 Februari 2022: koroner Brigitte Windley mulakan pendengaran inkues pada atas permohonan keluarga mangsa dan badan berkaitan bagi menjawab isu yang belum ditimbul dalam RCI dan keterangan mahkamah


Pengarang :