BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Dari penggiat filem ke dunia politik, ADN Balakong majukan pelancongan industri

Pengalaman lima tahun sebagai pembantu wakil rakyat selain ahli majlis pihak berkuasa tempatan mendedahkan Wong Siew Ki kepada dunia politik.

Terpilih sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong susulan kematian penyandangnya Eddy Ng Tien Chee, beliau menumbangkan lawan dari Barisan Nasional dengan majoriti 18,533 undi pada 8 September 2018.

Anak kelahiran Ipoh, Perak yang kini berusia 36 tahun merangka pelbagai perancangan termasuk memajukan pelancongan perindustrian di kawasan berkenaan. Wartawan ZAREEF MUZAMMIL mendapatkan maklumat terkini daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong itu pada 23 Mac lalu.

Sejauh mana kegiatan kemasyarakatan yang dilakukan YB sebelum bergelar wakil rakyat?

Saya memiliki dua kerjaya iaitu pembantu kepada ADN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah selama lima tahun dari 2013 hingga 2018 sebelum berkhidmat sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (kini Majlis Bandaraya Subang Jaya) pada 2016 hingga 2019. Saya juga terlibat dalam pembikinan empat filem dokumentari dari 2012 hingga 2016.

Filem pertama bertajuk Jatuh mengisahkan bekas pembantu YB Ean, Teoh Beng Hock yang maut akibat terjatuh dari tingkat sembilan bangunan Plaza Masalam yang menempatkan ibu pejabat lama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, manakala filem kedua berkaitan bangunan warisan di Kampung Pantai Dalam, Kampung Railway Sentul dan Jalan Sultan, Kuala Lumpur. Pada 2014, saya menghasilkan filem berkisar perjuangan anti-Lynas manakala karya terakhir berhubung akta hasutan. Selepas menyiapkan semua dokumentari ini, saya menjelajah ke seluruh negara untuk urusan tayangan. Malah, dua daripada dokumentari tersebut juga dimuat naik di YouTube untuk tontonan umum.

Bagaimana terdetik untuk hasilkan dokumentari? Adakah YB ada latar belakang pendidikan bidang itu?

Sebenarnya tidak. Saya belajar pengajian bahasa Cina. Malah, tiada langsung ilmu pengetahuan menghasilkan filem. Ini semua kerana minat dan kebetulan ada kamera. Saya rasa apa salahnya menghasilkan dokumentari untuk memberi kesedaran dan menjawab persoalan orang ramai. Saya berpandangan sangat penting menghasilkan satu produk sebagai platform perbincangan.

Apakah YB masih berminat untuk menghasilkan dokumentari?

Sejujurnya saya memang memiliki banyak idea cuma masa tidak mengizinkan kerana pembikinan dokumentari memerlukan masa panjang. Pertimbangan daripada segenap aspek perlu diberi terutama jalan cerita dan kandungan yang kreatif supaya orang ramai tertarik dan tidak bosan semasa menonton.

Sebelum menjadi wakil rakyat, amat penting bagi saya buat kerja sebegini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tetapi selepas menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin, agak berat untuk menghasilkannya kerana hal yang perlu diberi perhatian ketika ini ialah bagaimana untuk membantu dan memajukan taraf hidup penduduk.

ADN Balakong Wong Siew Ki mengagihkan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir di dewan orang ramai Taman Mesra, Kajang pada 3 Januari 2022. Foto Facebook Wong Siew Ki

Bagaimana kerjaya terdahulu membantu YB dengan tugas sekarang?

Sepanjang bertugas sebagai pembantu YB Ean serta ahli majlis, saya banyak belajar mengenai politik dan cara berkhidmat kepada rakyat. Sebaik dipilih menjadi wakil rakyat, kerja saya lebih senang walaupun skop kerja sedikit berbeza. Semasa berperanan selaku ahli majlis di Seri Kembangan, kebanyakan perkara perlu diurus berkaitan kediaman kerana di situ ada banyak kampung baru, malah terbesar di Malaysia.

Jadi, masalah sering membelenggu penduduk adalah keadaan kemudahan yang uzur selain pergaduhan sesama jiran. Apabila sampai ke Balakong, masalah berbeza pula timbul memandangkan satu pertiga kawasan adalah perindustrian. Maka saya perlu menguruskan isu berhubung kilang, pengurusan sampah haram dan pencemaran alam sekitar.

Berapa lama tempoh menyesuaikan diri dengan penduduk?

Saya akui pada mulanya berdepan sedikit kesukaran memandangkan saya bukan wakil rakyat yang dipilih dari pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tetapi memenangi PRK kerana kematian penyandang. Oleh itu, layanan diharapkan daripada penduduk adalah sama seperti ditempuh mendiang Eddy. Dahulu, beliau mampu memenuhi undangan majlis sosial masyarakat sehingga 2 pagi tetapi saya hingga 12 tengah malam sahaja. Berikutan itu, ada menganggap saya sombong namun dalam tempoh setahun penduduk akhirnya tahu cara kerja saya.

Berapakah jumlah pengundi sedia ada dan baharu di Balakong?

Pada 2018, bilangan pengundi di Balakong seramai 62,000 tetapi selepas Undi 18 diperkenal, jumlah itu mencecah antara 95,000 hingga 96,000. Memandangkan angka pengundi dikemas kini setiap bulan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) maka saya menjangka ia bakal menjangkau 100,000 menjelang akhir tahun ini.

Berdasarkan rekod sehingga Januari, jumlah pengundi baharu seramai 33,000 termasuk individu yang tidak pernah mendaftar sebagai pengundi meskipun umur mereka layak berbuat demikian.

ADN Balakong Wong Siew Ki melawat tapak projek pembaikan cerun di Jalan Kota Cheras, Cheras pada 9 Mac 2022. Foto Facebook Wong Siew Ki

Apakah masalah penduduk yang diselesaikan sejak menjadi wakil rakyat?

Kawasan ini sering dilanda banjir jika hujan lebat memandangkan ada dua sungai iaitu Sungai Langat dan Sungai Balak. Namun, hasil komitmen bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, kerja mendalam dan membina tebing kedua-dua sungai dilaksanakan dengan kos lebih RM1.5 juta dibiayai JPS. Projek menaik taraf Sungai Balak bermula dari 2018 dan siap setahun kemudian, manakala sebahagian Sungai Langat melibatkan Balakong selesai sepenuhnya akhir tahun lepas sejak dimulakan pada 2020.

Penambahbaikan ini memanfaatkan hampir 2,000 keluarga di Kampung Sri Jambu, Taman Pasir Emas dan Kampung Baru Balakong. Sekiranya hujan lebat, tiada lagi banjir kritikal di kawasan berkenaan. Air hanya naik di permukaan jalan.

Bagaimana Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membantu golongan berpendapatan rendah (B40). Berapakah jumlah penerima di Balakong?

Berdasarkan rekod sehingga Januari, seramai 21,727 individu memperoleh bantuan dengan jumlah tertinggi membabitkan baucar perayaan iaitu 9,269 diikuti Skim Mesra Usia Emas (5,241), Tabung Warisan Anak Selangor (5,064), Skim Peduli Sihat (1,109), Perkahwinan Belia (826), Kasih Ibu Smart Selangor (203) dan Anak Istimewa Selangor (15). Jumlah ini tidak termasuk inisiatif lain seperti sumbangan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) serta perumahan mampu milik.

Saya percaya IPR banyak membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup terutama semasa tempoh pandemik Covid-19. Penularan wabak di negara ini sesuatu yang tidak diduga sehingga ramai terjejas pendapatan berikutan penguatkuasaan beberapa fasa sekatan pergerakan.

Apakah bantuan lain bagi meringankan beban penduduk terjejas pandemik?

Sejak wabak melanda negara, pusat khidmat masyarakat (PKM) DUN Balakong membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk agihan bakul makanan kepada 10,000 keluarga. Setiap pek bernilai RM100 mengandungi beras lima kilogram (kg), kacang panggang, mi segera, telur, tepung, gula, garam, minyak masak, kentang dan biskut.

Agihan pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling banyak. Dalam sehari, dianggar antara 200 hingga 300 bakul makanan telah disumbangkan. Kesemua barangan dihimpunkan di sebuah kedai sebelum agihan dibuat menggunakan 10 kenderaan yang akan memasuki penempatan penduduk. Selain bakul makanan, kita juga menyediakan makanan bermasak kepada keluarga dikuarantin termasuk warga emas yang tinggal bersendirian di rumah pada tahun lepas.

Selangor dilanda banjir luar biasa Disember tahun lepas. Apakah bentuk bantuan kepada mangsa terjejas di Balakong?

Jika dibandingkan Taman Sri Muda, Shah Alam, banjir di Balakong boleh dianggap lebih ringan dan tidak parah. Hanya Kampung Baru Batu 11 dan Kampung Sri Jambu termasuk beberapa perumahan terjejas akibat bencana membabitkan 3,000 keluarga. Air melimpah di kawasan berkenaan dari 4 pagi (18 Disember) sehingga 7 malam. Ketika itu, memang kita tidak mampu berbuat apa-apa kecuali segera mencari bot untuk memindahkan mangsa ke tempat lebih selamat.

Selepas air mulai surut, kerja pembersihan segera dijalankan kerana enggan berlaku perkara tidak diingini seperti jangkitan Covid-19 atau pembiakan nyamuk aedes yang boleh memberi risiko kesihatan terhadap mangsa. Saya bersama pasukan PKM mengambil masa empat hari untuk membersihkan sampah dan lumpur termasuk mengeluarkan sisa tersebut menggunakan tong Roll on Roll off (RoRo). Sebaik selesai kerja berkenaan, bantuan segera diberi kepada keluarga terlibat seperti makanan, perkakas elektrik dan pelapik tidur.

Adakah semua keluarga terjejas telah terima Bantuan Selangor Bangkit (BSB)?

Ini antara satu perkara yang wajar diberi pujian kepada Kerajaan Negeri kerana pantas bertindak untuk membantu mangsa banjir. Selangor sebenarnya lebih proaktif berbanding kerajaan pusat kerana kita sendiri mengumpul data dan menentukan lokasi agihan. Data tersebut dikongsi kerajaan pusat untuk menyalur bantuan bagi pihak mereka. Jadi, kesemua 3,000 keluarga terlibat sudah menerima BSB yang diagih serentak bersama Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Apakah cabaran yang dilalui sepanjang bergelar wakil rakyat. Bagaimana mengatasinya?

Pelbagai bentuk cabaran ditempuhi. Saya perlu mengetahui semua perkara misalnya berkaitan perancangan bandar, kejuruteraan, undang-undang, hak asasi manusia dan alam sekitar, sedangkan latar belakang pendidikan saya bidang bahasa. Namun sehingga sekarang saya masih belajar dan sekurang-kurangnya memiliki pengetahuan asas berkaitan aspek berkenaan. Jika langsung tiada ilmu berhubung perkara itu, pasti sukar untuk saya menerangkan kepada rakyat jika mereka berdepan masalah tertentu. Saya tidak boleh mengatakan ‘tidak tahu’. Seandainya ini berlaku, rakyat akan mempersoalkan peranan saya.

Selain wanita, YB antara wakil rakyat muda di Selangor. Adakah ia halangan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat?

Kadangkala timbul juga isu segelintir pihak memberi tanggapan kurang enak terhadap wakil rakyat muda dan wanita terutama individu kenamaan. Mereka menganggap kami tidak mampu berbuat apa-apa. Malah mereka mempersoal gelaran YB yang saya peroleh dengan menganggap hanya kerana menceburi politik, saya memilikinya. Sebenarnya tanggapan seperti ini sangat sukar dikikis. Namun, saya berpegang pada prinsip jika orang lain buat kerja 100 peratus maka saya kena buat 150 peratus.

Adakah kekangan itu mematahkan semangat YB untuk terus berkhidmat kepada rakyat?

Semestinya tidak. Bagi saya begitulah lumrah dunia politik. Jika mahu kesal atau putus asa, lebih baik jangan masuk politik. Sama juga dengan wakil rakyat lain khususnya wanita. Tiada sesiapa akan berputus asa disebabkan cabaran berkenaan sebaliknya memberi dorongan untuk terus bekerja lebih keras.

Apakah perancangan lain untuk memajukan lagi Balakong?

Saya merancang memperkenal program pelancongan perindustrian memandangkan Balakong mempunyai banyak kilang bersejarah yang boleh ditonjolkan kepada orang ramai. Kilang yang wujud sejak lebih tiga atau empat dekad lalu mempunyai visi dan cerita tersendiri yang mungkin ramai belum tahu. Jadi, kita bekerjasama dengan Tourism Selangor untuk menjayakan program yang dijangka bermula Mei tahun ini.

Mengikut perancangan asal, kita mahu mulakan pada Mac tetapi situasi semasa penularan Covid-19 mengekang pelaksanaannya. Melalui program ini, pelancong termasuk pelajar sekolah dan universiti akan dibawa melawat tiga kilang dikenal pasti termasuk sebuah restoran berkonsepkan kilang. Dari situ, wakil kilang atau syarikat akan menerangkan latar belakang, keistimewaan dan keunikan produk dihasilkan. Pelancong juga diberi peluang melihat sendiri penghasilan dan membeli produk buatan kilang terbabit.

Melalui pelbagai tawaran inisiatif, adakah YB yakin sokongan rakyat meningkat sekali gus terpilih sekali lagi dalam PRU15?

Saya tidak boleh mengiyakan tetapi rakyat boleh menilai sendiri usaha dilakukan untuk menjadikan Balakong sebagai lokasi yang baik dan selesa dihuni. Saya bersama seluruh pasukan PKM dan ahli majlis bekerja keras memberikan perkhidmatan. Saya juga bersedia malah sentiasa berkempen untuk PRU akan datang kerana bagi saya setiap hari adalah hari kempen. Kempen tidak semestinya 14 hari sebelum tarikh mengundi.

ADN Balakong Wong Siew Ki (kanan) menyampaikan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar berpendapatan rendah di pusat khidmat masyarakat Balakong pada 24 Mac 2022. Foto Facebook Wong Siew Ki

Apakah usaha yang digerakkan bagi menarik pengundi baharu termasuk Undi 18?

Saya akan memulakan ‘The Call Project’ dengan menjelajah ke seluruh kawasan di Selangor pada April. Sebenarnya, projek ini sudah dijalankan semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor. Jadi, saya bersama pasukan membuka kaunter bagi memberi penerangan berhubung pengundian selain melakukan aktiviti ‘mock voting’ bagi meningkatkan kesedaran pengundi baharu.

Pandangan berhubung perpecahan pembangkang hingga muncul beberapa parti baharu?

Ia suatu proses semula jadi iaitu akan ada perpecahan dan kemunculan parti baharu. Jika kita mahu menjangka apa yang berlaku dalam medan politik tanah air, boleh merujuk sistem yang diamalkan di England. Dalam tempoh tiga tahun terawal saya sertai politik, ada dua pilihan iaitu Barisan Nasional (BN) dan HARAPAN tetapi ketika itu sudah ada banyak parti kecil. Jadi, sekarang kita hanya ikut semula sistem di England.

Kemunculan parti baharu ini sebenarnya bagus. Maknanya pilihan bagi rakyat bukan hanya pada A dan B tetapi ada C, D, E dan seterusnya. Kita sendiri kena berkhidmat lebih baik supaya rakyat menaruh keyakinan kerana paling penting setiap kebaikan itu perlu sampai kepada rakyat.

Adakah kemunculan parti baharu menjejaskan HARAPAN di Selangor?

Tidak. HARAPAN di negeri ini kukuh memandangkan kita sudah menjadi kerajaan selama tiga penggal. Parti komponen (HARAPAN) sudah ada pengalaman untuk bekerjasama. Sekarang pun ramai wakil rakyat lebih muda dan pentadbiran Selangor lebih matang berbanding negeri lain. Jadi saya yakin HARAPAN kekal menerajui Selangor untuk PRU akan datang.


Pengarang :