Pengembara dari negara endemik cacar monyet akan menerima amaran kesihatan menerusi MySejahtera selama 21 hari untuk pemantauan kendiri. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelancongan ambil masa untuk pulih, ramai pilih tunggu dan lihat

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Kemasukan pelancong luar ke negara ini dijangka mengambil sedikit masa untuk pulih sepenuhnya, biarpun pintu sempadan telah dibuka sejak 1 April.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata hal ini kerana ramai pihak akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ untuk merancang percutian, lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik Covid-19, yang masih ada.

“Ia mungkin mengambil sedikit masa kerana orang perlu membiasakan diri dengan tatacara operasi piawai (SOP).

“Selain itu, ada juga pelawat terutamanya dari Singapura gemar menggunakan pendekatan tunggu dan lihat untuk melihat kesesuaian melancong, sebagai contoh ketika musim cuti sekolah atau cuti istimewa di negara mereka,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Santhara yang ditemui selepas pelancaran rasmi dan hari pengundian Pameran Hadiah Malaysia ke-12, berkata demikian sebagai mengulas perkembangan industri pelancongan sejak pintu sempadan negara dibuka.

Menurutnya, langkah beberapa negara seperti China dan Jepun yang belum bersedia membuka pintu sempadan masing-masing, bagi membolehkan rakyatnya melakukan perjalanan ke luar negara juga antara faktor melambatkan pemulihan kedatangan pelancong luar ke Malaysia.

“Bagaimanapun, perkara ini akan MOTAC atasi dengan cara memasarkan produk pelancongan Malaysia ke pasaran lain yang sudah membuka pintu sempadan, termasuk di India dan Arab Saudi.

“Kita akan bekerjasama dengan pejabat-pejabat pelancongan MOTAC di luar negara dan juga mengadakan program-program strategi pemasaran, jadi kita amat positif tentang impaknya,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :