EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Isu kanak-kanak ke bazar Ramadan hanya babit beberapa lokasi

SUBANG JAYA, 14 APRIL: Ibu bapa yang membawa anak berusia bawah 12 tahun ke bazar Ramadan di negeri ini melibatkan jumlah yang kecil dan hanya dikesan di beberapa lokasi setakat minggu pertama puasa.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata berdasarkan pemantauan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), majoriti pengunjung yang berada di bazar adalah golongan dewasa.

“Misalnya hari ini, kita dapati tiada kanak-kanak bawah usia tersebut berada di Bazar Ramadan PUJ3/1, Puncak Jalil.

“Saya berasakan isu kanak-kanak bawah 12 tahun (dibawa ke bazar Ramadan) hanya di tempat tertentu sahaja, bukan di semua bazar,” katanya ketika ditemui media selepas menyantuni dan berbuka puasa bersama peniaga bazar dekat sini semalam.

Menurut Sze Han, bagaimanapun isu terbabit akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) meskipun operasi bazar Ramadan sudah memasuki minggu kedua.

Katanya, terdapat pandangan berbeza yang perlu dipertimbangkan sebelum memuktamadkan perkara berkenaan.

“Ada yang mendakwa larangan membawa kanak-kanak ke bazar hanya akan menyusahkan ibu bapa berikutan tiada penjaga di rumah selain terdapat pandangan hanya 10 peratus golongan itu di Selangor sudah lengkap divaksin.

“Jadi kita kena ambil kira pandangan semua pihak supaya boleh membuat keputusan yang baik,” kata Sze Han.

Sehingga semalam, seramai 195,865 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun atau 5.5 peratus daripada populasi itu di negara ini lengkap menerima pelalian Covid-19 menerusi Program Imunisasi Kanak-Kanak Covid-19 Kebangsaan (PICKids).


Pengarang :