Exco Pelancongan Hee Loy Sian (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Tourism Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Shah Mohamad (kanan) dan Tourplus Technology Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Rickson Goh untuk pembangunan aplikasi Go Selangor di i-CITY, Shah Alam pada 14 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Jumlah pelancong asing meningkat, industri negeri kembali rancak

SHAH ALAM, 14 APRIL: Ketibaan pelancong asing ke Selangor meningkat sejak negara beralih ke fasa endemik awal bulan ini, kata EXCO pelancongan.

Hee Loy Sian berkata perniagaan di hotel dan pusat pelancongan negeri ini kembali rancak sekali gus memulihkan industri yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Walaupun belum ada statistik, namun saya percaya jumlah (pelancong) meningkat selepas pembukaan semula pintu sempadan negara.

“Kita berharap lebih ramai lagi pelancong datang ke negeri ini memandangkan Selangor merupakan pintu masuk pelancong dengan adanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sudah tentu sukar untuk capai jumlah pelancong seperti sebelum pandemik pada 2019 kerana masih ada negara belum buka sempadan, namun kita mahu lebih baik berbanding 2020,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan aplikasi Go Selangor antara Tourism Selangor dan Tourplus Technology di i-City di sini hari ini.

Sementara itu, Loy Sian berterima kasih kepada kerajaan kerana memudahkan pelancong asing melancong ke negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin.

“Pelancong hanya perlu membuat ujian pantas antigen (RTK-Ag) 24 jam sebelum menaiki pesawat. Ini satu usaha baik untuk menggalakkan pelancong datang ke Malaysia terutama Selangor,” katanya.


Pengarang :