Orang ramai tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti riadah bersama keluarga ketika tinjauan SelangorKini sempena Malaysia telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur pada 2 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Fasa endemik: Orang ramai ambil peluang kumpul, riadah bersama keluarga

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Rata-rata masyarakat merebut peluang berkumpul dan beriadah bersama keluarga pada cuti hujung minggu selepas negara beralih ke fasa endemik bermula 1 April.

Tinjauan SelangorKini di Taman Metropolitan Kepong di sini semalam mendapati ramai dalam kalangan orang awam tidak melepaskan peluang untuk beriadah, bersenam dan berkelah bersama yang tersayang.

Nur Azizah Arsad, 32, berkata beliau datang ke taman itu untuk berkumpul bersama keluarga sambil meraikan hari ulang tahun kelahiran anaknya yang kedua.

Nur Azizah Arsad, 32

“Sudah lama tidak merasai suasana berkumpul begini, sebelum ini bimbang mahu bawa anak keluar memandangkan dia masih kecil.

“Alhamdulillah sekarang sudah masuk fasa endemik…berani sangat itu tidak cuma cuba untuk hidup dalam keadaan norma baharu dan ambil peluang berkumpul bersama keluarga sebelum berpuasa,” katanya ketika ditemui.

Muhammad Afif Zahari, 27, pula mengambil peluang membawa isteri dan anak ke taman itu untuk beriadah dan mengambil angin sebelum tibanya bulan Ramadan.

“Sejak lahir belum pernah bawa anak keluar…dia masih kecil baharu empat bulan, pada awalnya bimbang juga tetapi sekarang keadaan sudah fasa endemik, mahu atau tidak kita perlu biasakan,” katanya yang bekerja sebagai juruaudit.

Manakala, Noor Hareati Fajar Alaini, 31, mengakui bimbang dengan penularan wabak Covid-19 namun sebagai ibu beliau akan memastikan tatacara operasi piawai (SOP) masih dijaga.

Muhammad Afif Zahari, 27

“Hari ini saya dan suami bawa tiga anak kami beriadah sambil mereka bermain layang-layang di sini…syukur kerana sudah masuk ke fasa endemik walaupun masih takut tetapi anak juga perlu bergaul dan bermain dengan bebas,” katanya.

Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April dengan beberapa kelonggaran mula diberikan antaranya pembukaan sempadan negara, premis perniagaan boleh beroperasi mengikut masa lesen perniagaan masing-masing dan tiada penjarakan fizikal semasa solat di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat lain.


Pengarang :