Sukarelawan Duta Komuniti (DK) dengan pemakaian vest dilihat berada di sekitar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengingatkan pengembara mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu pemakaian pelitup muka dengan betul dan penjarakan fizikal selari dengan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Fasa endemik: Polis terus operasi pematuhan SOP Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 APR: Operasi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) akan terus diadakan di seluruh negara walaupun negara telah beralih ke fasa endemik, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan itu dijalankan bagi memastikan masyarakat terus mematuhi SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa selain menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan bakal dikenakan tindakan sewajarnya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berdasarkan SOP terkini bertarikh 1 April 2022 dan Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 31 Mac 2022,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Negara memasuki fasa peralihan ke endemik mulai hari ini dengan beberapa kelonggaran mula diberikan antaranya pembukaan sempadan negara, premis perniagaan boleh beroperasi mengikut masa lesen perniagaan masing-masing dan tiada penjarakan fizikal semasa solat di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat lain.

– BERNAMA


Pengarang :