Bendera parti memenuhi sepanjang jalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulai sempena pilihan raya negeri Johor ketika tinjauan pada 11 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN sokong pindaan, mahu draf RUU Anti Lompat Parti disegera

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menyokong Pindaan Perlembagaan bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat , Isnin ini.

Majlis Presiden HARAPAN dalam kenyataan hari ini bagaimanapun memaklumkan, syarat utama ialah deraf Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu disegerakan.

Perkara itu ditegaskan Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) yang bermesyuarat semalam, dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyampaikan pendirian PH itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

“Oleh itu, kami menggesa Perdana Menteri menyatakan komitmen bahawa Rang Undang-undang Anti Lompat Parti itu akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat, manakala tarikh sidang khas kedua itu perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada 11 April,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan Majlis Presiden HARAPAN itu ditandatangani Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohd Sabu; Setiausaha Agung DAP Anthony Loke; dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Majlis Presiden HARAPAN turut mengulangi pendirian tegas mereka bahawa, meluluskan RUU Anti Lompat Parti di Parlimen merupakan antara syarat utama dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU).

“Amatlah jelas bahawa Pakatan Harapan tidak akan berkompromi dalam perkara itu,” menurut kenyataan itu.

Majlis Presiden HARAPAN menggesa menteri yang bertanggungjawab membentang Pindaan Perlembagaan Isnin ini, turut menyatakan dengan jelas di Parlimen apakah prinsip-prinsip asas RUU Anti Lompat Parti yang bakal dibentang dan dilulus pada sidang khas kedua nanti.

Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata RUU itu, tidak akan dibentang pada Sidang Khas Dewan Rakyat Isnin ini.

Bagaimanapun Wan Junaidi dalam kenyataan bersama Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam berkata sidang khas itu diteruskan, untuk membentang dan membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti akan dibentang, dibahas dan diluluskan, pada satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak.

– BERNAMA


Pengarang :