Khairul Nazihah Khairul Nizam, 6, ceria merakam gambar selepas menerima suntikan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan Tambun Tulang, Kangar, Perlis pada 16 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Lebih 1.3 juta kanak-kanak divaksin, 6.5 peratus lengkap dos

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Seramai 1,374,520 kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun atau 38.7 peratus daripada populasi itu, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), setakat semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, seramai 229,615 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 6.5 peratus, telah lengkap divaksinasi.

Bagi remaja berumur antara 12 dan 17 tahun, seramai 2,865,407 individu atau 92.1 peratus telah lengkap divaksinasi, manakala 2,967,575 atau 95.4 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Untuk populasi dewasa, seramai 15,950,859 individu atau 67.8 peratus telah menerima dos penggalak, manakala 22,959,339 atau 97.6 peratus telah melengkapkan dos kedua, selain 23,236,086 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam sebanyak 47,622 dos vaksin telah diberikan, melibatkan 34,384 dos kedua, 7,639 dos penggalak dan 5,599 dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,370,702.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sejumlah 22 kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam, dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu tujuh kes diikuti Melaka dan Perak, masing-masing merekodkan tiga kes.

Johor, Kedah, Pahang merekodkan dua kes, manakala Sabah, Kelantan dan Kuala Lumpur masing-masing satu kes.

-BERNAMA


Pengarang :