Logo rasmi Sukan Sea dan Sukan Para Asean. Temasya itu dijadual berlangsung pada Mei 2022 di Hanoi, Vietnam. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Malaysia sasar kelompok tiga terbaik dalam Sukan Sea Hanoi

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Kontinjen Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kelompok tiga teratas dari segi jumlah pungutan pingat pada Temasya Sukan Sea ke-31 di Hanoi, Vietnam, bulan hadapan.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Sea Hanoi Datuk Nur Azmi Ahmad berharap, para atlet yang menggalas tugas membawa cabaran di Vietnam, dapat berusaha dengan lebih keras bagi membantu mencapai sasaran tersebut.

“Kita sasarkan tiga tempat teratas…mereka perlu hargai apa yang kerajaan telah belanjakan dan ini masanya untuk mereka bagi balik pingat,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan atlet renang, terjun, gimnastik, gimrama, serta wushu di Bukit Jalil, hari ini.

Dalam pada itu, Nur Azmi berkata jumlah sasaran awal 31 pingat emas yang dikemukakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker sebelum ini, mampu diraih atlet negara berdasarkan tinjauan serta lawatannya terhadap 16 persatuan sukan setakat ini.

“Hari pertama lawatan ada 12 pingat emas disasarkan, hari kedua pula 16 emas dan hari ini pula bagi saya 31 emas, sepatutnya tidak ada masalah, kita boleh kekalkan jumlah 31 emas ini dan jika dapat yang lain saya anggap bonus,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kekurangan mahupun ketiadaan aksi kompetitif di peringkat antarabangsa sejak lebih dua tahun lepas akibat kekangan Covid-19, bukanlah satu alasan untuk kontinjen negara tidak berjaya dalam temasya dwitahunan itu nanti.

Katanya, bukan sahaja Malaysia, malah situasi sama turut melanda semua atlet dunia dan kesemuanya terserah kepada komitmen tinggi para atlet negara, untuk berjaya dalam acara disertai.

Kontinjen Malaysia sebelum ini menamatkan saingan di tempat kelima secara keseluruhan pada edisi 2019 di Filipina, dengan membawa pulang 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

Pencapaian terbaik Malaysia adalah muncul juara keseluruhan pada Sukan Sea 2001 dan 2017 yang menyaksikan negara menjadi tuan rumah dalam kedua-dua edisi itu.

-BERNAMA


Pengarang :