Ubat antiviral Paxlovid bagi rawatan Covid-19 keluaran Pfizer. Foto Twitter Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDA NASIONAL

Malaysia terima 48,000 stok ubat antiviral Paxlovid bagi rawat pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Sebanyak 48,000 stok ubat antiviral bagi rawatan Covid-19 Paxlovid (PF-07321332 / Nirmatrelvir 150mg Film-Coated Tablets and Ritonavir 100mg Film-Coated Tablets) keluaran Pfizer, telah diterima hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata stok ubat berkenaan, yang disyorkan untuk rawatan pesakit Covid-19 berumur 18 tahun dan ke atas, yang tidak memerlukan terapi oksigen dan berisiko tinggi untuk mendapat gejala yang teruk, tiba di Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd hari ini.

Menerusi ciapan di Twitter, beliau berkata ubat antiviral berkenaan tidak bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti kepada vaksinasi Covid-19, atau pengganti kepada tindakan kesihatan awam untuk mengelakkan dijangkiti Covid-19.

“Penggunaan Paxlovid adalah satu lagi senjata melawan Covid-19, iaitu ia ubat antiviral untuk aspek rawatan Covid-19. Ia diberikan segera selepas dikesan positif Covid-19 dan dalam tempoh masa lima hari gejala bermula, untuk keberkesanan optimum,” katanya.

Pada 5 Mac lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilapor sebagai berkata bagi perolehan fasa pertama antiviral itu, Malaysia telah membeli ubat itu untuk 110,000 pesakit bagi diberikan kepada individu berisiko tinggi.

– BERNAMA


Pengarang :