Orang ramai membeli barang keperluan asas ketika Karnival Jualan Mega Prihatin di Dataran Batu Laut, Kuala Langat pada 28 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSISELANGOR

Orang ramai harap jualan murah lebih kerap, ringan beban rakyat

KUALA LANGAT, 28 APRIL: Orang ramai berharap program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dapat diadakan lebih kerap bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Karmina Basar, 60, berkata dia amat bersyukur kerana program itu menawarkan penjimatan apabila ayam dan daging dijual pada harga murah khususnya menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya tak pernah melepaskan peluang, ini kali kedua saya datang selepas kali pertama program ini diadakan pada Mac lalu.

“Kalau boleh biarlah setiap bulan ada jualan macam ini kerana ia dapat membantu orang ramai yang terkesan memandangkan banyak barangan ketika ini semakin mahal,” katanya ketika ditemui pada Karnival Jualan Mega Prihatin sempena Aidilfitri di Batu Laut di sini.

Sementara itu, Hamdan Misran, 75, mengakui dia dapat membeli barangan sekali ganda lebih murah berbanding pasar biasa.

“RM80 saya belanja hari ini dapat membeli macam-macam seperti ayam, daging, sayur, telur dan minyak. Jika beli di tempat lain mungkin separuh sahaja daripada barangan ini yang saya dapat.

“Alhamdulilah saya amat berterima kasih dan amat berharap program ini dapat diteruskan,” katanya.


Pengarang :