Pelitup muka diwajibkan di tempat awam bagi menangani penularan Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Perakuan Sirim bagi pelitup muka bukan perubatan bermula tahun depan

PUTRAJAYA, 7 APRIL: Penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan yang mengkehendaki pengilang dan pengimportnya membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM ditangguhkan ke 1 Jan 2023.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penangguhan itu bukan kerana kerajaan membuat pusingan U tetapi sensitif dan prihatin terhadap keresahan rakyat sekiranya ia mengakibatkan kenaikan harga.

“Penangguhan itu memberi ruang kepada industri dan rakyat membuat penyesuaian,” katanya kepada media selepas hadir majlis amanat bersama pihak industri sempena pewartaan dan penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022 hari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan Selasa lepas memaklumkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 diwartakan pada 5 April.

Menurut kenyataan KPDNHEP itu, perintah itu berkuat kuasa pada 4 Julai depan dengan pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Penandaan MS SIRIM perlu diletakkan pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna dan penandaan MS SIRIM itu menunjukkan ia telah mematuhi standard, berkualiti dan selamat digunakan.

Nanta memberi jaminan kepada pengguna bahawa harga pelitup muka bukan perubatan tidak akan dinaikkan kerana jaminan itu telah diberikan pihak industri, selain amaran juga diberikan kepada pihak industri supaya tidak menggunakan pewartaan berkenaan sebagai alasan untuk menaikkan harga

Beliau berkata perbincangan dengan SIRIM QAS International pula agar caj kepada pemohon adalah rendah.

“Saya yakin pengilang dan pengimport tidak akan naik harga walaupun perlu membayar caj mendapatkan perakuan penandaan MS SIRIM. Saya berpandangan pengenaan caj yang munasabah oleh SIRIM terhadap pengilang dan pengimport akan dapat memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Nanta berkata sebelum pandemik Covid-19 melanda, Malaysia merupakan sebuah negara yang mengeksport pelitup muka dan keputusan pewartaan itu adalah untuk memastikan produk Malaysia berkualiti dan mempunyai standard keselamatan serta diterima oleh pengguna dunia.

Pewartaan itu juga bertujuan menjaga kesejahteraan dan melindungi kepentingan rakyat serta mengatasi isu lambakan pelitup muka bukan perubatan yang tidak berkualiti di pasaran tempatan, katanya.

Nanta juga menjelaskan tindakan terhadap pengilang dan pengimport jika berlaku ketidakpatuhan itu tiada kaitan dengan pengguna tetapi individu yang terlibat dalam perniagaan.

Mengenai penguatkuasaan di stesen minyak susulan pembukaan semula sempadan negara, Nanta berkata KPDNHEP mengambil maklum isu kereta dengan pendaftaran negara asing mengisi petrol RON95 yang merupakan barangan bersubsidi dan sedang merangka strategi untuk menangani masalah tersebut.

Bagi strategi jangka panjang, Nanta berkata anggota penguat kuasa perlu ditambah untuk memantau kerana tenaga anggota penguat kuasa seramai 2,200 orang setakat ini adalah tidak mencukupi.

-BERNAMA


Pengarang :