Pengunjung membeli ayam segar dalam program jualan murah di Wisma PKPS, Shah Alam pada 7 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program jualan murah diteruskan di Sabak Bernam, Hulu Langat minggu ini

SHAH ALAM, 15 APRIL: Program Intervensi Ehsan yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga rendah akan diadakan di daerah Sabak Bernam dan Hulu Langat minggu ini.

Menerusi Twitter, Dato’ Menteri Besar memaklumkan program bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari esok dilangsungkan di Dataran Tonggak 9, Sungai Besar dan pekarangan hadapan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sekinchan.

Manakala pada Ahad dalam tempoh masa sama di depan Kompleks Penghulu Mukim Hulu Langat, Pekan Batu 14 dan tapak aktiviti Persatuan Penduduk Taman Jenaris, Kajang.

“Minggu ini, Program Intervensi Ehsan akan menjelajah ke Sekinchan, Sungai Besar, Pekan Batu dan Kajang.

“Barangan keperluan dapur akan dibawa dan dijual lebih murah daripada harga semasa pasaran untuk dinikmati rakyat setempat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Poster dipaparkan memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan ayam segar seekor pada harga RM12, telur sepapan (RM10), daging pejal segar (RM35/kg), ikan kembung dan selayang (RM8/kg) serta minyak masak paket (RM2).

Pada 27 Februari, Kerajaan Negeri memutuskan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah sehingga menjelang Aidilfitri menerusi program jualan prihatin rakyat.

Program pada setiap Sabtu dan Ahad secara berkala di seluruh negeri adalah susulan program intervensi harga makanan ehsan yang dilancar Dato’ Menteri Besar awal Februari lalu.

Sebanyak 62 lokasi sudah dikenal pasti bagi tujuan berkenaan iaitu 24 di bawah Selangor Agro Market manakala selebihnya di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).


Pengarang :