Pengunjung membeli ayam segar dan telur dalam jualan murah anjuran PKPS dan pejabat DUN Batu Tiga di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah pada 27 Februari 2022. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Aidilfitri: KPDNHEP teliti semula senarai barangan skim harga maksimum

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti semula senarai barangan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Aidilfitri ini, berpandukan kepada keperluan rakyat.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata oleh sebab itu, kemungkinan akan terdapat penambahan atau pengurangan jenis barangan dalam senarai tersebut.

“Sekarang memang dilaksanakan skim kawalan harga untuk ayam dan telur, menjelang Aidilfitri kita akan tambah pelbagai lagi barang yang perlu dikawal harganya. Tarikh (umum senarai) kita belum dapat lagi, tetapi akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Ada barang harganya sudah rendah, bekalan tidak ada masalah…apa perlunya kita buat harga maksimum, nanti yang murah ini harganya dinaikkan kepada maksimum. Kita tidak mahukan begitu…ikut apa yang kita kaji baru boleh ditetapkan,” katanya selepas perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-20 Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Menara SSM di sini hari ini.

Selain itu, Nanta berkata KPDNHEP sedia berunding dan membantu Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung laporan kenaikan harga tiket bas ekspres serta kapal terbang ketika ini, susulan sambutan perayaan Aidilfitri.

“Kalau (tiket) bas ini, kebiasaannya MOT dengan agensi berkaitan (pantau). Kuasa kita membantu…lebih elok kalau MOT buat penjelasan, nanti kita akan berunding dengan MOT,” katanya.

Semalam, media melaporkan kadar tambang bas ekspres akan dinaikkan hampir 10 peratus kepada 10.2 sen bagi setiap kilometer bermula hujung bulan ini, menjelang sambutan Aidilfitri.

Terdahulu berucap pada majlis itu, Nanta berkata sepanjang dua dekad penubuhan SSM, lebih 8.5 juta perniagaan; 31,168 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) dan 1,446,196 syarikat telah didaftarkan sehingga 31 Mac lepas.

Beliau berkata KPDNHEP dan SSM optimis, jumlah pendaftaran perniagaan dan syarikat akan meningkat tahun ini selaras dengan pemulihan sektor ekonomi serta fasa peralihan ke endemik ketika ini.

– BERNAMA


Pengarang :