Kapten pasukan Terengganu FC (TFC) Tchetche Hermann Brice Kipre (tengah) diasak oleh pemain Selangor FC, Yazan mousa Mahmoud Al-Arab (kanan) pada saingan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Selangor FC berusaha lebih konsisten, elak kesilapan dalam perlawanan

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Pemain Selangor FC kini sedang berusaha untuk lebih konsisten dalam setiap perlawanan dan meminimumkan kesilapan yang tidak perlu, kata Kapten skuad Gergasi Merah Brendan Gan.

Beliau percaya pasukan itu akan meraih keputusan yang lebih baik sekiranya pemain lebih berdisiplin dan memberikan tumpuan sepanjang 90 minit perlawanan.

“Itulah mesej yang diterapkan dalam pasukan, harus konsisten bukan hanya ketika perlawanan, tetapi (pemain) juga harus konsisten ketika latihan, diet dan aspek positif sebagai pemain bola sepak.

“Sukar untuk menyatakan apa yang silap (ketidakselarasan pemain Selangor) tetapi pada masa yang sama kami perlu lakukan yang terbaik jadi ia dapat meminimumkan kesilapan yang kami buat sepanjang perlawanan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi parti tontonan perlawanan Liga Perdana Inggeris di sini malam tadi.

Semalam, Selangor merekodkan kekalahan pertama Liga Super selepas mengharung empat perlawanan apabila tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sekali gus jatuh ke tangga kelapan dengan lima mata.

Kekalahan itu dicatatkan selepas skuad itu memperoleh kemenangan pertama dengan menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sementara itu, Brendan yang teruja untuk kembali beraksi bersama pasukannya, bagaimanapun berkata tiada tarikh tetap bila beliau akan membuat kemunculan semula dalam skuad Selangor serta pasukan kebangsaan.

Pemain tengah pertahanan berusia 33 tahun itu berkata beliau akan memastikan kesihatannya pulih sebelum kembali beraksi.

“Bagi saya, sukar untuk menyatakan, saya akan tumpukan kepada kesihatan terlebih dahulu,” katanya.

Tahun lepas, Brendan didiagnosis dengan kanser testis dan sekarang masih dipantau oleh pakar perubatan.

Kali terakhir beliau bermain secara kompetitif adalah bersama skuad Harimau Malaya pada pusingan kedua kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bercakap mengenai jurulatih baharu pasukan kebangsaan Kim Pan Gon, Brendan berkata adalah menarik untuk menyaksikan gaya permainan baharu yang bakal dilaksanakan oleh pengendali dari Korea Selatan itu.


Pengarang :