Sistem inframerah diperkenalkan di bazar Ramadan Seksyen 4, Kota Damansara, Petaling Jaya untuk mengawal jumlah pengunjung. Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut ditempatkan di pintu masuk bagi memastikan pengunjung mengimbas kod MySejahtera ketika tinjauan pada 4 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Sistem inframerah kesan jumlah pengunjung keluar masuk bazar Ramadan

PETALING JAYA, 5 APRIL: Sistem Kawalan Orang Ramai (CCS) yang ditempatkan di lokasi tumpuan menggunakan fungsi inframerah bagi mengesan bilangan pengunjung.

Teknologi diperkenal Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di bazar Ramadan Seksyen 4, Kota Damansara pantas mengira apabila ada individu melintasinya.

Tinjauan Selangorkini mendapati sistem berkenaan memaparkan jumlah orang yang masuk melalui skrin disediakan dan siren amaran akan berbunyi jika kapasiti bazar penuh.

Walaupun CCS berperanan mengira jumlah individu keluar masuk, orang ramai tetap perlu mengimbas MySejahtera di pintu masuk yang dijaga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sebelum ini, Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata sistem berkenaan diperkenal untuk mengawal jumlah pengunjung bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Selain Kota Damansara, ia turut ditempatkan di bazar Ramadan SS 6/1, Kelana Jaya berikutan kedua-duanya menjadi tumpuan ramai setiap tahun.

 


Pengarang :