Petugas kesihatan mengambil sampel darah ketika program Selangor Saring di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 22 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Cegah penyakit dari awal, 4,177 orang daftar saringan kesihatan percuma

KLANG, 25 MEI: Seramai 4,177 individu mendaftar awal bagi menyertai program Selangor Saring melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berharap lebih ramai rakyat Selangor mengambil peluang menjalani saringan percuma bagi memastikan diri mereka sihat.

“Apabila datang kesedaran, rakyat tahu penyakit tiga serangkai seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan jantung seterusnya boleh ambil langkah penjagaan.

“Ia juga selari hasrat untuk mewujudkan sistem rekod kesihatan yang mana jika mereka ke mana-mana klinik, boleh tunjukkan rekod terkini kepada doktor,” katanya dalam sesi taklimat program Selangor Saring dan Hi-Tea bersama Media di Hotel Wyndham Acmar di sini semalam.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah memaklumkan seramai 75 individu membuat saringan kesihatan pada program yang membuka tirai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, Ahad lalu.

Beliau turut mengakui jumlah penyertaan rendah berikutan sukar menarik minat penduduk luar bandar meskipun kuota setiap DUN diperuntuk antara 500 hingga 1,000 peserta.

“Kita harus faham agak berat untuk tarik minat orang luar bandar, lagipun baru hari pertama penganjuran. Usaha promosi akan terus dipergiat bagi memastikan ramai menyertainya,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan selangorsaring.selangkah.my, hubungi talian Selcare 1-800-22-6600 atau Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor melalui drsitimariah.com/talian-suka/.

 


Pengarang :