BUDAYARENCANA

Hari-hari awal persaraan

Oleh Adam Taufiq Suharto

Dia, seorang pengarah jabatan yang berdedikasi. Daripada dua puluh empat jam masa sehari-harinya, pasti dihabiskan paling sikit dua belas jam di pejabat, kadang menginjak lapan belas jam sehari. Adakala dia tak pulang ke rumah, beradu di pejabat, makan di pejabat, hanya tak sampai tahap makan pejabat itu saja. Dia malah mengerjakan semua sembahyang lima waktunya di pejabat, hanya tak sampai tahap seperti kata kakitangannya, ‘menyembah pejabat’. Dia, seorang pengarah jabatan yang memberikan sepenuh jiwa-raga, tubuh-nyawa kepada pejabat, kepada kerja.

Dia, seorang pegarah yang tegas hinggakan setiap bulan sejak dia bergelar pengarah dua puluh tahun yang lalu, pasti ada yang akan meletakkan jawatan, angkat kaki. Semuanya tak tahan dengan ketelitian dan kesungguhan melampaunya pada kerja, pada etika, pada waktu. Dia, menganggap semua kakitangan pejabatnya tak ubah sebagai kaki dan tangannya sendiri. Menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kerja. ‘Pejabat adalah negeri kecil kita,’ katanya kepada para staf. Namun, sudah seminggu dia gelisah kerana sehari dua lagi, dia bukan lagi seorang pekerja, bukan lagi seorang pengarah jabatan. Separuh jiwa dan raganya perlu dilepaskan. Dia akan bersara sehari dua lagi. Fitrahnya, orang gembira kalau hendak bersara, tetapi tidak dia. Dia menganggap dia mati sebaik melepaskan pejabatnya, sebaik melafazkan ‘talak’ kepada kerja.

‘Sesungguhnya, hidupku dan matiku hanya demi bekerja’, ikrarnya di awal kerjaya dahulu.

Harinya telah tiba, hari persaraan si pengarah disambut dengan meriah, gilang-gemilang. Kugiran kegemarannya pun turut diundang, tetapi dia, si pengarah yang mengabdikan hidupnya kepada kerja, tidak dapat tersenyum. Staf-stafnya bersalaman sambil mengucapkan terima kasih. Dia mula meluat. Dia tahu, dalam jiwa setiap kakitangannya sedang sujud syukur kerana tak perlu lagi melayan si tua bangka sepertinya di pejabat. Dia bencikan majlis itu. Baginya majlis persaraan ini mirip sahaja majlis arwah, meraikan ‘kepergian’-nya.

***

Hari pertama sebagai pesara, hari yang membingungkan buat si bekas pengarah. Biasanya, hanya dua sebab sahaja untuk dia bangkit daripada tidur; solat dan kerja. Tapi kini, separuh lagi sebab untuk bangun sudah lenyap. Dia merasakan hidupnya sudah separuh tidak bererti. Dia siap cemburukan anak-anaknya sebab masih berkerja. Anak-anaknya pula cemburukan dia sebab tak perlu lagi bekerja. Seharian dia kebingungan. Dia resah, tak duduk tenang. Berkebun sudah, bersukan sudah, bergurau dengan kucing sudah, mengacau isteri pun sudah, mengadap buku dan telefon pun sudah. Tapi, dia masih rindukan separuh jiwanya, yakni kerja di pejabat.

Hari berikutnya, selesai solat subuh, zikir dan mengaji, dia mengarahkan bibiknya supaya menggosok baju kerja formalnya. Sebagai bibik solehah, si bibik terus menggosok. Si bekas pengarah, menyalin baju Melayu dan kain pelikat kepada kemeja dan blazer. Isterinya kerut dahi melihat si bekas pengarah. ‘Abang ni dah lupa ke abang dah 60 tahun dan dah bersara?’ Dia tak mengendahkan si Isteri. Sebelum menutup pintu rumah, dia sempat berkata; ‘I bukan nak ke pejabat lama, I nak pergi cari kerja baru’.

***

Sebelum dia bergerak ke sebuah temu duga, sempat dia berhenti dan melambai pejabat lama. Air matanya bergenang, semacam Romeo rindukan Juliet atau Uda rindukan Dara. Ini pertama kali dia ke temu duga kerja selepas berpuluh-puluh tahun. Dia pergi ke temu duga pertama. Calon-calon lain tergamam melihat seorang tua masih mencari kerja dan bersaing dengan yang baru bergraduan. Ada yang sempat menegurnya sebagai ‘tuan’ kerana menganggap si bekas pengarah itu adalah majikan tempat temu duga. Tiba gilirannya, dia ditemu duga oleh staf yang jauh 20 tahun lebih muda. Akhirnya, temu duga tersebut tidak menjadi sebuah temu duga, si penemu duga pula yang ditemu duga dan menerima syarahan panjang tentang etika kerja, erti kerja, pengurusan kerja, kerja, kerja, kerja dan kerja!

‘Sebagai seorang pengurus, yang patut awak cari bukanlah seorang pengikut. Tetapi yang patut awak cari, think-tank. Dan saya nak tanya awak, adakah awak akan tanya soalan pasal pengalaman kerja juga kepada budak-budak yang baru bergraduan? Kalau ya, lebih baik awak pergi tulis surat berhenti kerja, lupakan kerja awak sekarang, sebab awak tak layak.’

Panel penemu duga terdiam sebelum menyambung.

‘Em..encik, encik ni berpengalaman, berkelayakan. Tapi encik ni dah lanjut usia, kami tak ambil pekerja baharu yang umurnya lebih 35 tahun.’

Apa?! Awak nak diskriminasi orang tua macam saya, ya? Sebab apa? Sebab awak takut orang bawahan awak lebih cerdik daripada awak, ya? Panggil CEO awak sekarang!’ Herdik si bekas pengarah.

Hampir satu jam, si bekas pengarah baru keluar dari bilik temu duga. Ramai calon-calon yang sudah tertidur, tak kurang pula meninggalkan tempat temu duga. Seharian itu, dia pergi hampir empat ke lima temu duga terbuka. Dan semuanya terpaksa menolak dia, sudah tentulah. ‘Terlebih layak’, ‘faktor umur’, ‘faktor kesihatan’, faktor itu, faktor ini. Dia, bekas pengarah yang berdedikasi, mula kecewa dan menganggap dunia mendiskriminasinya. Dia bukannya ingin mencetuskan sebuah revolusi atau menyelamatkan kaum tertindas. Dia hanya ingin satu perkara: bekerja! Dia sudah bekerja sejak usianya enam tahun, membantu ibu menjual kuih dan nasi lemak dari rumah ke rumah, dari jalan ke jalan, dari kampung ke kampung. Dalam perjalanan kerjayanya, dia telah bermula dari bawah dan berakhir di atas. Dia runsing dan keliru, apa bezanya enam tahun dan enam puluh tahun? Kedua-duanya masih perlu bekerja.

***

Menjelang Maghrib, dia duduk di sebuah bangku di tengah kota dan melihat pasangan tua berlari berkejaran, tak ubah seperti merpati dua sejoli. Mulalah dia terfikir kalau-kalau itulah yang sepatutnya dia lakukan. Bersenang-senang, menunggu hari penghabisan. Tiba-tiba, dia melihat beberapa pemuda berpakaian pejabat berjalan pulang keletihan sambil mengeluh-ngeluh. Si bekas pengarah tidak senang, kembali resah, ‘kalaulah kau tahu yang letih kerja tu nikmat…’ sambil tangan dan kakinya menggigil. Enjin kereta dihidupkan, dia menuju ke pejabat lamanya. Kakitangan sudah ramai yang pulang dan sekuriti pun terkejut melihat si bekas pengarah datang ke pejabat berpakaian formal. Dia meluru ke bilik pejabat lamanya, pintu dibuka.

Seorang pengarah baharu, iaitu orang kanannya sebelum ini, tercengang melihat. Si bekas pengarah terdiam sebelum terduduk. Perlahan-lahan, dia menutup muka dengan kedua-dua tangan. Perlahan-lahan, dia mula menangis teresak-esak. Pengarah baharu, yang juga orang kanannya sebelum ini, menenangkan si bekas pengarah. Dia menasihatkan si bekas pengarah agar berehat dan bertenang, mungkin boleh pergi bercuti di luar negara atau mengerjakan umrah-haji ‘atau tuan boleh cuba dapatkan khidmat psikologis?’ Dia, si bekas pengarah, terdiam seketika, termenung beberapa detik, sebelum berkata teresak-esak, ‘saya tak sakit, saya cuma mahu bekerja…bekerja…dan bekerja!’


Pengarang :