Sebahagian peserta yang menghadiri temu duga ketika program Jelajah JobCare di Dewan Utama Demesne, Hulu Langat pada 21 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

JobCare: Ratusan hadiri temu duga di Bandar Baru Bangi

HULU LANGAT, 21 MEI: Lebih 130 pencari kerja hadir bagi menghadiri sesi temu duga dalam siri kelima Jelajah JobCare yang berlangsung di Dewan Demesne, Bandar Baru Bangi hari ini.

Ketua penyelaras Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) berkata setakat jam 1 petang tadi separuh daripada 270 pencari kerja yang sudah mendaftar hadir untuk menjalani temu duga.

“Sebanyak 10 syarikat terkemuka antaranya pasar raya 99 Speedmart, syarikat kitar semula, Old Town Kopitiam Sdn Bhd dan Proton Shah Alam menyertai program jelajah hari ini.

“Pada hari ini juga kita menawarkan 200 pelbagai jawatan kosong kepada pencari kerja ,” kata S.Vijayan kepada Selangorkini.

Beliau memaklumkan sejak siri jelajah itu dianjurkan pada Februari lalu hampir 150 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan.

“Pada siri jelajah di Klang seramai 52 pencari kerja diterima kerja serta-merta, manakala di Rawang (35), Putra Height (27) dan di Dengkil pula 11 individu,”katanya.

Dalam pada itu, Jelajah JobCare menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini menerusi pembabitan 15 syarikat tempatan dalam pelbagai sektor.

Individu berminat boleh mendaftar melalui pautan https://uppselangor.wixsite.com/my-site.

Berikut lokasi dan tarikh seterusnya penganjuran Jelajah JobCare:

  • Dewan Serbaguna Air Panas, Setapak (22 dan 23 Mei)
  • Gombak – Dewan Taman Gombak (4 Jun)
  • Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang (11 dan 12 Jun)
  • Kuala Langat – Dewan Banting Baru (18 Jun)
  • Sabak Bernam – Dewan Sri Bernam (25 Jun)

Pengarang :