Pekerja KDEB Waste Management mengutip sampah pukal di sekitar Taman Buana, Petaling Jaya. Foto Facebook KDEBWM.
AGENDANASIONAL

KDEBWM sedia tong sampah pukal, permudah kutipan sisa banjir di Hulu Selangor

SHAH ALAM, 17 MEI: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyediakan tong Roll On Roll Off (RORO) bagi memudahkan kutipan sisa banjir di Hulu Selangor.

Tiga tong ditempatkan di Kampung Jawa manakala Kampung Air Panas, Kampung Pasir dan Stadium Mini Kuala Kubu Bharu masing-masing satu, menurut ketua media dan perhubungan awamnya.

“Berikutan banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di Hulu Selangor, KDEBWM telah menggerakkan aset dan tenaga kerja di kawasan dinaiki air,” kata Mahfuzah Muahamd Tarmidi dalam kenyataan.

Beliau berkata kerja pembersihan sisa banjir di beberapa kawasan giat dijalankan dengan 12 tan dibawa keluar setakat 1 tengah hari.

Menurutnya, operasi tersebut dijangka berterusan sehingga tiga hari berikutan masih terdapat penduduk yang akan membuang sampah pukal.

“KDEBWM bersama Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan akan terus memberikan segala usaha dan komitmen dalam menyelesaikan kerja pembersihan pascabanjir di kawasan terlibat,” katanya.

Hujan lebat lebih tiga jam di beberapa daerah di negeri ini bermula jam 12 tengah hari semalam menyebabkan berlakunya banjir kilat di daerah terbabit.

Antara kawasan terkesan ialah Kerling, Kampung Kelapa, depan persimpangan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Kubu Bharu serta perumahan Taman Serendah Makmur.


Pengarang :