Ksaito Har Padil, 32, memakaikan topi keledar kepada anaknya, Mikael Keno I La Harza, 6, sebelum menyertai pertandingan ‘push bike’ dalam program Smart Cycling Fest 2022 di Stadium Shah Alam pada 29 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Kempen ‘Smart Cycling’ kongsi panduan keselamatan sukan berbasikal

SHAH ALAM, 31 MEI : Rata-rata pengunjung memuji kempen ‘Smart Cycling’ yang disifatkan dapat membantu pengayuh amatur berkecimpung dalam aktiviti berbasikal.

Basyeer Suhaimi, 27, berkata program itu sedikit sebanyak membantu individu yang baharu sahaja ingin berjinak-jinak dalam dunia berbasikal seperti dirinya.

Basyeer Suhaimi

“Segelintir individu dia mahu menjadikan aktiviti berbasikal sebagai hobi tetapi tidak tahu macam mana nak mula, saya rasa dengan adanya kempen dan buku panduan ‘Smart Cycling Handbook’ ia boleh membantu.

“Saya baharu setahun lebih berjinak-jinak dalam aktiviti berbasikal, tercetus minat daripada rakan-rakan. Pada mulanya kita rasa macam mudah sahaja tetapi sebenarnya banyak persediaan perlu dibuat apabila mahu sertai sukan ini,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau antara lebih 100 pengayuh basikal hadir dan menyokong kempen ‘Smart Cycling’ anjuran Selangor Youth Community (SAY) di Stadium Shah Alam di sini, Ahad lalu.

Selain itu, Salinda Mohamed, 41, berkata program itu dapat menambah kenalan di samping berkongsi pengalaman masing-masing.

“Sejak saya aktif dalam aktiviti kayuhan ini ramai kenalan baharu saya temui, daripada situ kita boleh memperluaskan lagi jaringan persahabatan selain merancang aktiviti seterusnya,” katanya.

Salinda Mohamed

Manakala, Ksaito Har Padil, 32, turut mengambil peluang membawa anaknya Mikael Keno I La Harza, 6, menyertai pertandingan ‘push bike’.

“Saya tahu program ini daripada Facebook dan terus terfikir untuk bawa anak memandangkan dia memang sukakan sukan ini dan mula berkecimpung sejak berusia dua tahun.

“Bagus program ini jika diadakan selalu kerana kita dapat jumpa lebih ramai kenalan baharu dan mengisi masa lapang anak-anak,” katanya.

Kempen ‘Smart Cycling’ yang dibiayai oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut mendapat kerjasama strategik Malaysian National Cycling Federation (MNFC), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Darul Ehsan Facilities Management (DEFM).

Pelbagai pengisian menarik diadakan sejak 8 pagi hingga 2 petang antaranya Klinik ‘Ride Safe’ iaitu pengayuh akan diajar persediaan serta keselamatan ketika mengayuh dan perkara yang boleh dilakukan dan sebaliknya ketika berkayuh.


Pengarang :