Petugas kesihatan memeriksa mata peserta program Selangor Saring di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 22 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Individu kerap sakit kepala, dada, perut disaran sertai Selangor Saring

SHAH ALAM, 31 MEI: Individu yang kerap sakit kepala, dada, perut dan kencing tidak lawas disaran menjalani pemeriksaan kesihatan percuma menerusi Selangor Saring.

EXCO kesihatan awam berkata orang ramai dapat menjimatkan kos kerana Kerajaan Negeri menawarkan perkhidmatan itu secara percuma, selain lokasi program di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Nak buat saringan di luar, kos mahal belum lagi ambil kira jarak rumah dengan hospital yang jauh. Jadi, segera daftarkan diri anda di bawah program Selangor Saring di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Pendaftaran adalah percuma. Ujian saringan ditawarkan berdasarkan penilaian faktor risiko individu melalui borang saringan awal di aplikasi Selangkah,” kata Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program bermula 22 Mei hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan http://selangorsaring.selangkah.my, hubungi talian Selcare 1-800-22-6600 atau Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor melalui http://drsitimariah.com/talian-suka/.


Pengarang :