Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas perasmian sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen, Kuala Langat pada 14 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Sambutan Hari Wesak titik penting suntik semangat baharu

KUALA LANGAT, 14 MEI: Sambutan Hari Wesak pada kali ini merupakan titik penting dalam menyuntik semangat baharu dalam komuniti, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia berikutan komuniti dapat mengekalkan kemuafakatan bermasyarakat setelah berdepan pelbagai situasi dalam keadaan kepelbagaian agama dan kaum.

“Saya percaya sambutan ini titik penting beri suntikan baharu bukan hanya kepada penganut agama Buddha tetapi dalam komuniti. Ia mengingatkan kita hidup dalam masyarakat beragam dan pelbagai anutan.

“Kalau berjaya dikekalkan keseimbangan dan menyatukan kemuafakatan serta berusaha untuk kebaikan, negeri ini terus cemerlang selain menjadi lokaliti subur serta didatangi ramai orang,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis perasmian sambutan Hari Wesak peringkat negeri di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen, Jalan Sungai Buaya Jenjarom di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Selangor terus menjadi negeri tarikan berikutan hasil daripada kedamaian, kesaksamaan, keharmonian dan keadilan masyarakatnya.

“Saya ingat pada 2008, populasi sekitar 4.6 juta dan semasa menjadi Menteri Besar ia meningkat kepada 6.5 juta. Terbaharu Jabatan Statistik Negara menerusi bancian mengatakan penduduk Selangor meningkat lebih 7 juta.

“Ini terhasil daripada kedamaian yang wujud di Selangor. Ini usaha sama kita semua sebagai rakyat yang berperanan mengekalkan muafakat dan keharmonian,” katanya.


Pengarang :