Selangorkini
Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (kanan) berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Mewah (coffee table book) PVRTM dan penyampaian sumbangan Hari Raya di sebuah hotel pada 14 Mei 2022. Foto BERNAMA
SELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan lancar buku terbitan veteran RTM

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menyempurnakan pelancaran Buku Mewah ‘Di Sebalik Nama Orang RTM’ yang diterbitkan oleh Persatuan Veteran RTM (PVRTM), di sini.

Buku yang diterbitkan buat pertama kali itu mengandungi fakta serta maklumat mengenai 76 orang tokoh personaliti dalam kalangan ahli PVRTM sendiri yang telah menabur bakti di dalam Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) sama ada di hadapan atau di belakang tabir.

Presiden PVRTM Zohara Gany Mhd Bathusha berkata pihaknya mengambil masa kira-kira setahun untuk menyiapkan buku itu memandangkan proses pencarian fakta yang rumit, terutama bagi tokoh yang telah meninggal dunia.

“Untuk memilih 76 orang tokoh personaliti itu memang susah sebab perlu memilih tokoh daripada kira-kira 1,200 ahli kita yang sedia ada, tetapi kita pilih juga, yang kita rasa ‘senior’ kita bagi beri keutamaan dahulu dan kita campur juga dengan yang baru bersara.

“Kita juga ambil daripada lain-lain jabatan seperti jurukamera, editor, penyampai radio, produser, dan lain-lain. Jadi, jangan ingat kalau personaliti itu cuma penyiar sahaja, tetapi orang di sebalik kamera juga ada, dan tugas mereka juga mustahak,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran buku itu, hari ini.

Sementara itu Zohara berkata pihaknya dijangka memulakan projek buku itu untuk edisi kedua pada pertengahan tahun ini yang akan memuatkan kira-kira 30 hingga 40 orang tokoh dan personaliti PVRTM.

-BERNAMA


Pengarang :