Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam program Rapat Mega Cabang Sepang di Dengkil pada 14 Mei 2022. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

Ahli KEADILAN harus kerah kekuatan, elak dirundung kecewa dikhianati

SHAH ALAM, 14 MEI: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor mengingatkan ahli parti tidak terus dirundung kekecewaan akibat pengkhianatan sebelum ini.

Sebaliknya, Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru mereka maju ke depan, lebih-lebih lagi dalam mendepani pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

“Untuk berdepan pilihan raya, kita kena kumpul kekuatan dalam parti, kena ada kelapangan dada, kena ada kesediaan untuk lupakan peristiwa yang menyakitkan.

“Bila kita bergaduh, kita kena ada titik penentu untuk maju ke depan. Kita tak boleh sedih sangat, marah sangat, jika tidak kita jadi tidak rasional,” katanya dalam program Rapat Mega Cabang Sepang di Dengkil di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerima tepukan daripada calon timbalan presiden Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, calon naib presiden Shamsul Iskandar Md Akin dan ADN Tanjung Sepat Borhan Aman Shah ketika berucap dalam program Rapat Mega Cabang Sepang di Dengkil pada 14 Mei 2022. Foto Twitter Amirudin Shari

Turut hadir, calon timbalan presiden Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, calon naib presiden Shamsul Iskandar Md Akin dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah.

Amirudin percaya parti boleh diperkuat menerusi kerjasama dengan parti dalam Pakatan Harapan, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti lain yang berkongsi tujuan iaitu menjadikan negara lebih baik.

“Rakyat tidak peduli kekecewaan kita, mereka ada masalah yang kita kena selesaikan. Mereka berdepan isu harga barang, penindasan pemerintah dan sebagainya,” kata beliau.

Pengundian bermula di Kelantan dan Terengganu pada 12 Mei diikuti Pahang dan Wilayah Persekutuan keesokannya sebelum Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan pada 16 Mei. Pengundian di Selangor pada 21 Mei manakala Perak, Sabah dan Sarawak pula 22 Mei.

Pengundian dalam talian bagi ahli KEADILAN di luar negara diadakan PADA 17 Mei manakala undian dalam talian bagi ahli parti dari 18 hingga 20 Mei melalui aplikasi ADIL.


Pengarang :