Kanak-kanak melakukan aktiviti seni sempena program Puchong 2022 Community Art Fsetival di Taman Wawasan, Subang Jaya pada 8 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Orang ramai sambut baik festival seni, erat hubungan selepas dua tahun pandemik

SUBANG JAYA, 8 MEI: Orang ramai menyambut baik penganjuran Puchong Community Art Festival 2022 di Taman Rekreasi Wawasan Puchong hari ini, sebagai usaha mengeratkan hubungan selepas dua tahun Covid-19 melanda.

Kwek Kuang Hau. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Peniaga Kuek Kwang Hau, 52 berkata program julung kali diadakan itu membolehkan penduduk setempat khususnya yang gemar beriadah mengenali lebih dekat antara satu sama lain, selain menambah ramai kenalan.

“Ia akan membentuk suasana yang lebih harmoni apabila kita saling mengenali. Saya berharap program seperti ini diadakan dengan lebih kerap.

“Malah aktiviti seperti ini juga menjana ekonomi peniaga kerana banyak gerai jualan dibuka dan memberi pilihan kepada orang ramai untuk membeli,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, penjawat awam Jamaludin Shamsudin, 32 berkata program sedemikian adalah contoh terbaik penganjuran yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum.

Jamaludin Shamsudin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Alhamudlilah seronok selepas dua tahun kita dapat beramai-ramai begini dengan pelbagai kaum ada kita dapat rasa suasana seperti sebelum ini.

“Pastinya ramai mengharapkan program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Lebih 5,000 pengunjung memeriahkan Puchong Community Art Festival 2022 yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han

Antara aktiviti diadakan adalah persembahan kesenian, pameran dan pertandingan fotografi, pertandingan mewarna khusus untuk kanak-kanak serta galeri dan sejarah Puchong.

Program bermula jam 8 pagi hingga 2 petang itu juga turut mengangkat tiga haiwan sebagai simbol Puchong iaitu burung pucung, buaya dan ular.

Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han (tengah) bersama Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary (dua, kanan) melawat gerai jualan selepas merasmikan Puchong 2022 Community Art Fsetival di Taman Wawasan, Subang Jaya pada 8 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :