Muhammad Hadhrami, 12, Husna Humaira, 10, Muhammad Harraz, 8, Muhammad Hawwas, 7, dan Hannan Humaira, 4, menatap gambar ibu dan bapanya Mohd Nasir Tahal dan Ida Haryanie Abdul Razak yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Kota Perdana, Seri Kembangan pada 2 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Piatu akibat Covid-19, lima beradik sayu ingati memori Ramadan

Pemergian ibu bapa akibat Covid-19 dalam tempoh singkat bukan mudah untuk ditelan lima beradik dari Kota Perdana, Subang Jaya. Hilang sudah tempat bergantung, tiada lagi belaian kasih sayang.

Menjadi yatim piatu ujian besar buat Muhammad Hadrami Hasil dan empat adiknya. Wartawan Amin Ridzuan Ishak bersama jurufoto Ahmad Zakki Jilan meninjau kehidupan mereka pada 2 April, lapan bulan selepas kematian ibu bapa mereka.

Muhammad Hadrami Hasil masih ingat kenangan bersama-sama ibu bapanya mengagih hidangan sahur kepada gelandangan sekitar ibu negara pada Ramadan 2018.

Menjinjing beg berisi makanan, beliau yang ketika itu berusia lapan tahun turut membantu menyerahkan sumbangan kepada kumpulan itu buat alas perut sebelum berpuasa pada siang hari.

Hasil Tahal, dan Ida Haryanie Abdul Razak, ibu bapa Muhammad Hadrami, bukan sahaja sibuk mengagih makanan, bahkan mengawal pergerakan empat adiknya iaitu Husna Humaira, 10, Muhammad Harraz, 8, Muhammad Hawwas, 7, dan Hanan Humaira, 4. Ibu bapanya mahu semua anak merasai keseronokan melakukan kerja amal itu.

“Sebenarnya kalau boleh mahu tidur di rumah sahaja tetapi abi dan umi (panggilan ibu bapa) ajak bantu orang susah, seronok pula bersahur bersama di kedai mamak (restoran India muslim) selepas itu,” kata murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti ketika ditemui sehari sebelum Ramadan tahun ini.

Turut segar dalam ingatan Muhammad Hadrami, mereka termasuk adik-adiknya bersolat tarawih berjemaah dengan bapanya menjadi imam setiap malam semasa bulan puasa tahun lalu. Keseronokan beribadat itu sangat dirasai meski mereka tidak ke masjid lantaran kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Itu antara memori yang terpahat dalam ingatan Muhammad Hadrami tentang ibu bapanya yang menghembuskan nafas terakhir akibat Covid-19 pada tahun lalu. Hasil, 46, meninggal dunia pada 11 Ogos tahun lalu manakala Ida Haryanie pada 7 Oktober, 64 hari selepas ditidurkan di Hospital Putrajaya. Pada waktu itu, negara mencatatkan kes harian kematian tinggi, antara 60 hingga 300 individu sehari.

Mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’ Cyberjaya, Sepang. Pemergian mereka menjadikan lima beradik itu yatim piatu. Muhammad Hadrami terasa benar kehilangan tersebut bagaikan sekelip mata.

Abdul Razak Basirun dan isterinya, Intan Sulaiman melayan cucu mereka Muhammad Hadhrami, Husna Humaira, Muhammad Harraz, Muhammad Hawwas dan Hannan Humaira di Kota Perdana, Seri Kembangan pada 2 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Abi, umi tunggu di rumah

Paling terkesan anak bongsu Hanan Humaira. Si kecil itu sering mencari kelibat ibu bapanya. Kadang-kala, Hanan Humaira ketika dibawa berjalan-jalan tiba-tiba merengek mahu pulang. Katanya, ibu dan bapa sedang menunggunya di rumah.

“Kami pujuk dengan tunjuk gambar arwah dan kata ‘Hanan, jangan sedih lagi nanti abi dan umi menangis’. Bila ada masa kami bawa melawat, mereka pun faham.

“Hanan pun kata abi dan umi sekarang di syurga,” kata Kintan Sulaiman, 64, nenek kepada kanak-kanak itu.

Beliau dan suaminya Abdul Razak Basirun, 68, kedua-duanya ibu bapa kepada Ida Haryanie, menjaga lima beradik itu sejak Hasil dan Ida Haryanie dirawat akibat dijangkiti Covid-19.

Mereka juga berpindah dari kediaman mereka di Taman Botani ke rumah kanak-kanak itu di Kota Perdana, Subang Jaya. Ini memudahkan mereka mengatur urusan cucu mereka ke sekolah.

Rumah teres berkenaan sebenarnya dibeli Hasil sebelum berkahwin. Kenduri perkahwinan juga berlangsung di situ. Hasil yang berasal dari Kluang, Johor adalah anak tunggal manakala kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia.

Tanpa belaian insan bergelar ibu bapa, Muhammad Hadrami, Husna Humaira, Muhammad Harraz, Muhammad Hawwas, dan Hanan Humaira, kini menumpang kasih dengan datuk, nenek dan ibu serta bapa saudara mereka.

Hampir lapan bulan selepas melalui episod dukacita, lima beradik itu kini mampu menerima hakikat pemergian ibu bapa mereka. Kehidupan seperti kanak-kanak lain diteruskan dengan penuh ketabahan.

Jika rakannya yang berusia tujuh tahun ditemani ibu bapa menjejak ke alam persekolahan buat kali pertama pada 21 Mac lalu, Muhammad Hawwas yang juga bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Universiti hanya dihantar oleh ibu saudaranya.

Husna pula tidak lagi dapat merasai nikmat melancong bersama ibu bapanya. Sewaktu hayatnya, Hasil sering membawa keluarganya dalam program konvoi ke negeri lain bersama kelab kereta yang dianggotainya. Bagi Muhammad Harraz pula, tiada lagi sesi pembelajaran golf bersama bapanya.

Ketiadaan kelibat Ida Haryanie paling dirasai. Beliaulah yang menguruskan persekolahan anak-anak pada setiap hari sejak berhenti kerja dari hospital swasta pada 2018. Sepanjang sesi pembelajaran dalam talian ketika PKP, Ida Haryanie senantiasa yang memastikan anak-anaknya tidak ketinggalan dalam menimba ilmu.

Di sebalik kehilangan itu, Abdul Razak bersyukur semua cucunya itu cepat menerima takdir yang menimpa ibu bapa mereka. Mulanya, beliau dihimpit kebimbangan kerana bukan mudah bagi kanak-kanak menerima berita sesedih itu.

“Namun mereka semua baik-baik sahaja, ketika abi dan umi mereka di hospital kesemuanya sudah kuat. Jadi agak mudah juga untuk kami menjaga, cuma adalah penat sikit… biasalah jaga kanak-kanak kecil mesti aktif.

“Selain saudara terdekat ramai juga bantu kami contohnya ada guru di sekolah mereka bantu menghantar pulang dari sekolah agama pada sebelah petang, guru itu adalah rakan ibu mereka, kami berterima kasih dengan keprihatinan semua pihak,” kata pesara berasal dari Banting itu.

Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak meluangkan masa bersama anak saudaranya yang menjadi yatim piatu setelah ibu dan bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 di Kota Perdana, Seri Kembangan pada 2 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Anak matang

Keluarga itu juga yakin pasti ada hikmah dengan setiap kejadian berlaku. Barangkali salah satunya melihat perkembangan Muhammad Hadrami yang dilihat semakin matang. Pintar membantu datuk serta nenek menjaga adik-beradiknya lain.

Beliau juga tidak canggung apabila berkomunikasi dengan orang dewasa. Dilayannya dengan tertib setiap pengunjung yang menyantuni keluarganya. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari antara yang turut bertandang.

“Dia (Muhammad Hadrami) agak matang dan boleh bantu, bukanlah seperti orang dewasa lain tetapi memadai dengan usianya, jadi mudah untuk kami,” kata Abdul Razak yang turut bersyukur atas keprihatinan pelbagai pihak terutama yang menghulur sumbangan.

Harapan Abdul Razak mahu melihat semua cucunya itu membesar seperti kanak-kanak lain dan tidak terlalu terkesan dengan pemergian ibu bapa mereka. Mereka juga yakin dengan didikan Tahal dan Ida Haryanie terhadap anak-anak selama ini.

“Mereka suka buat kerja amal, bawa anak yatim buka puasa dan beri makan kepada gelandangan, anak-anak pun dibawa sama. Malah, sebulan sebelum dijangkiti Covid-19 mereka sibuk hantar bantuan makanan kepada orang susah.

“Ramai orang senang dengan mereka sebab sikap tidak pentingkan diri, ramai yang tampil membantu semula cucu saya ini,” kata Kintan pula.


Pengarang :