Sebahagian peserta yang menghadiri temu duga pada program Jelajah JobCare di Dewan Utama Demesne, Hulu Langat pada 21 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Rakyat Selangor digesa rebut ribuan peluang kerja menerusi JobCare

HULU LANGAT, 21 MEI: Peserta Jelajah JobCare sanggup mengambil cuti untuk menghadiri temu duga program itu yang diadakan di Dewan Demesne, Bandar Baru Bangi hari ini.

Jurutera kanan, Mohd Azuan Abu Seman, 35, berkata beliau bekerja di Alor Gajah, Melaka sejak setahun lalu dan ingin berpindah ke Selangor kerana mahu bersama keluarga.

“Saya mengambil keputusan untuk menyertai program temu duga kerja kerana ingin berpindah ke sini kerana mahu bersama anak-anak dan isteri.

“Rakyat Selangor seharusnya mengambil peluang program mencari kerja ini kerana ia mempercepatkan proses mendapat pekerjaan baharu,” katanya kepada Selangorkini.

Pekerja kilang aksesori kereta Sahratul Athirah Ahmad Sukari, 25, pula berkata beliau sudah mengikuti temu duga program ini sebanyak dua kali iaitu pada April lalu.

“Program ini memudahkan urusan saya mencari kerja dan cepat kerana tempoh menunggu jawapan daripada syarikat singkat berbanding jika mohon sendiri.

“Bukan itu sahaja, saya juga dapat menjalani temu duga lebih daripada satu syarikat mengikut kelayakan sekali gus peluang mendapat pekerjaan cerah,” katanya.

Jelajah JobCare diadakan di sembilan daerah bermula 26 Februari lalu menawarkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan.

Inisiatif Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu berlangsung sehingga 25 Jun ini dan disertai 15 syarikat tempatan dari pelbagai sektor.

Individu berminat boleh mendaftar melalui pautan https://uppselangor.wixsite.com/my-site.

Berikut lokasi dan tarikh seterusnya penganjuran Jelajah JobCare:

  • Dewan Serbaguna Air Panas, Setapak (22 dan 23 Mei)
  • Gombak – Dewan Taman Gombak (4 Jun)
  • Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang (11 dan 12 Jun)
  • Kuala Langat – Dewan Banting Baru (18 Jun)
  • Sabak Bernam – Dewan Sri Bernam (25 Jun)

Pengarang :