ADN Taman Templer Mohd Sany Hamzan meninjau proses suntikan pelalian Covid-19 menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan, Gombak pada 26 Julai 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN: Saringan kesihatan percuma bantu kesan awal sakit kronik

SHAH ALAM, 20 MEI: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer perlu memanfaatkan program Selangor Saring sebagai langkah mengelak diserang penyakit kronik.

Ahli Dewan Negerinya (ADN) Mohd Sany Hamzan berkata inisiatif percuma oleh Kerajaan Negeri itu tidak harus disia-siakan kerana ia memberi peluang kepada orang ramai mengetahui status kesihatan mereka.

“Amat penting bagi orang ramai melakukan saringan ini supaya mereka boleh dapat gambaran jelas soal kesihatan masing-masing. Mungkin selama ini mereka berasakan tiada masalah kesihatan, tetapi dengan saringan ini mereka boleh tahu.

“Apabila umur semakin meningkat, macam-macam penyakit boleh datang seperti darah tinggi, jantung dan kencing manis. Setidak-tidaknya mereka boleh berjaga-jaga dengan mengubah gaya hidup dan mengawal pemakanan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan program Selangor Saring peringkat DUN Taman Templer dijadual berlangsung pada 17 Julai, namun lokasi akan ditentukan kemudian.

Menurutnya, penduduk juga diminta mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan portal selangorsaring.selangkah.my.

“Hebahan program dibuat dalam pelbagai saluran antaranya melalui ahli majlis dan ketua kampung termasuk kumpulan WhatsApp penduduk selain meletakkan gegantung di kawasan tertentu,” katanya.

Sebanyak RM3.4 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program Selangor Saring yang menumpukan saringan penyakit seperti jantung, kencing manis, kanser dan glaukoma.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu dijangka memanfaatkan 39,000 rakyat Selangor terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :