SHAH ALAM, 23 MEI: Sebanyak 156 kes jenayah penipuan Macau Scam dengan kerugian berjumlah RM19.8 juta dilaporkan di Selangor antara Januari hingga April lalu.
Ketua polis Selangor berkata kebanyakan kes membabitkan transaksi dalam talian sama ada menyamar sebagai penjawat awam atau belian barangan yang tidak wujud, lapor Harian Metro.
Menurut Datuk Arjunaidi Mohamed, pihaknya turut mendapati mangsa terdiri daripada semua golongan termasuk korporat dan kakitangan kerajaan.
“Kes paling tinggi serta membabitkan kerugian besar membabitkan sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Tabung Haji.
“Situasi ini membimbangkan yang menunjukkan masih ramai mangsa terpedaya dengan sindiket ini, justeru sesuatu perlu dilakukan,” katanya.
Arjunaidi berkata punca utama kes penipuan itu terus berleluasa berikutan mangsa panik sekali gus mempercayai atau terpengaruh dengan tipu daya sindiket terbabit.
Katanya, undang-undang sedia ada (Seksyen 420 Kanun Keseksaan) juga perlu dipinda seiring peredaran zaman berikutan kaedah pemindahan wang banyak dilakukan secara dalam talian.