Selangorkini
Pasangan negara Arif Junaidi-Muhammad Haikal menewaskan pasangan tuan rumah Dinh Hoang Nguyen-Dinh Manh Tran 15-21, 21-12, 22-20 dalam aksi badminton Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam pada 16 Mei 2022. Foto Facebook Persatuan Badminton Malaysia
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Skuad badminton negara layak separuh akhir, lawan Singapura

HANOI, 16 MEI: Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan tuan rumah, Vietnam 3-1 sekali gus layak ke separuh akhir acara badminton berpasukan lelaki pada temasya Sukan SEA Ke-31 di Gimnasium Bac Giang, di sini hari ini.

Pasukan muda negara ketinggalan selepas pemain berpengalaman Vietnam Nguyen Tien Minh menewaskan Jacky Kok Jing Hong 21-14, 24-26, 21-7 dalam perseorangan lelaki.

Malaysia kemudian bangkit menyamakan kedudukan apabila beregu pertama Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengetepikan cabaran gandingan Do Tuan Duc-Pham Hong Nam 21-8, 20-22, 21-18.

Lee Shun Yang pula menewaskan Le Duc Phat 21-19, 27-25 dalam perseorangan kedua, sebelum beregu kedua negara Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri mengesahkan slot Malaysia ke separuh akhir dengan kemenangan ke atas Nguyen Dinh Hoang-Tran Dinh Manh 15-21, 21-12, 22-20.

Malaysia akan berdepan Singapura di peringkat separuh akhir, petang esok. Singapura mara dalam kelompok empat pasukan terbaik itu selepas mengalahkan Laos 3-0.

Sementara itu, cabaran skuad wanita muda negara terkandas di peringkat suku akhir apabila tewas mengejut 1-3 kepada Vietnam.

Perseorangan pertama Siti Nurshuhaini Azman tewas 9-21, 8-21 kepada Nguyen Thuy Linh, sebelum  Vu Thi Trang meletakkan tuan rumah di kedudukan 2-0 apabila mengalahkan Siti Zulaikha Azmi 21-9, 21-7.

Beregu pertama negara Go Pei Kee-Yap Ling kemudian berjaya merapatkan kedudukan selepas menewaskan Dinh Thi Phuong Hong-Do Thi Hoai 12-21, 21-15, 21-16.

Namun perseorangan ketiga negara Ong Xin Yee gagal mengawal tekanan dan tumpas 13-21, 15-21 kepada Vu Thi Anh Thu sekali gus menamatkan cabaran Malaysia dalam acara berpasukan.

— BERNAMA

 


Pengarang :