DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin bergambar di depan pintu masuk Masjid Istana Diraja, Klang yang berlatar belakang jubin khas yang dibeli Baginda di Turki. Foto Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMASELANGOR

Sultan harap sambutan raya penuh meriah, harmoni dalam norma baharu

SHAH ALAM, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam khususnya di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin berharap sambutan raya kali ini diraikan dalam suasana yang meriah dan harmoni dengan mengamalkan norma baharu.

“Titah Baginda, meskipun rakyat telah dibenarkan kembali menziarahi sanak saudara dan meneruskan budaya kunjung-mengunjung.

“Namun beberapa SOP (tatacara operasi piawai) yang masih lagi dikuatkuasakan perlu dipatuhi demi mengelak penularan wabak Covid-19,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Baginda turut berkenan menasihatkan umat Islam khususnya yang pulang ke kampung halaman agar berhati-hati ketika di jalan raya.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin,” tulisnya.

 

 


Pengarang :