Selangorkini
Pelancong luar negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika tinjauan pada 1 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tingkat pengawasan pintu masuk antarabangsa, elak rebakan cacar monyet

BAGAN SERAI, 26 MEI: Kerajaan akan meningkatkan tahap pengawasan di semua pintu masuk antarabangsa terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memastikan jangkitan cacar monyet tidak merebak ke Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) telah diminta mengumpul sampel dan mengenal pasti penumpang yang menunjukkan simptom bagi mengawal penyakit itu.

“Saringan termasuk pemeriksaan suhu akan dilakukan di semua pintu masuk antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Pusat Transformasi Perikanan (FTC) My Komuniti Perikanan di Kampung Tepi Kolam Bukit Merah hari ini.

Menurutnya setakat ini tiada kes cacar monyet dilaporkan di negara ini dan KKM tidak pernah melindungi sebarang maklumat berkaitan virus berkenaan daripada pengetahuan rakyat selain menasihatkan rakyat yang demam dan mempunyai ruam di mulut supaya mendapat rawatan.

Virus cacar monyet atau monkeypox telah menyerang beberapa negara termasuk Kanada, Sepanyol, Portugal, Sweden, Perancis, Itali, Amerika Syarikat, Switzerland dan Austria manakala Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesahkan lebih 100 kes positif virus itu dilaporkan di seluruh dunia.

-BERNAMA


Pengarang :