Orang ramai menikmati hidangan yang disediakan pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar Seksyen 7, Shah Alam pada 3 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI I
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat anjur rumah terbuka, pelawa penduduk meriahkan acara

SHAH ALAM, 7 MEI: Wakil rakyat Selangor bakal menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri kepada penduduk kawasan mereka.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras berkata majlis itu akan diadakan pada minggu ketiga Syawal di pekarangan pusat khidmatnya.

“Kita jangka tahun ini lebih meriah daripada biasa, sasaran hampir 7,000 pengunjung hadir memandangkan sudah dua tahun DUN (Dewan Undangan Negeri) Paya Jaras tidak anjurkan rumah terbuka.

“Kita mengalu-alukan penduduk sekitar untuk bersama memeriahkan acara itu nanti kerana pelbagai jenis juadah akan disediakan,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Manakala, ADN Permatang Rozana Zainal Abidin tidak melepaskan peluang untuk meraikan pengundinya dengan menganjurkan rumah terbuka pada 15 Mei nanti.

Menurutnya, acara itu dijangka diadakan pada jam 10 pagi hingga 2 petang di pekarangan pusat khidmatnya dengan sasaran lebih 3,000 pengunjung.

“Tetamu akan dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah hari raya antaranya sate, kambing bakar, mee kuali besar, soto, lemang, nasi impit yang disediakan sendiri oleh ahli majlis dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

“Justeru, saya mengajak semua penduduk DUN Permatang hadir dan mengambil peluang untuk bertemu, bermaaf-maafan dan mengeratkan kembali silaturahim sesama kita,” katanya.


Pengarang :